NEYMAR ketika sesi latihan skuad Piala Dunia Brazil. Foto REUTERS
NEYMAR ketika sesi latihan skuad Piala Dunia Brazil. Foto REUTERS
AFP

NEYMAR yang menjadi mangsa kekasaran pada aksi pembukaan pasti berazam untuk membawa kempen Piala Dunia Brazil kembali ke landasan tepat dengan pasukan pilihan itu memburu kemenangan ke atas Costa Rica, esok.

Neymar mengharungi perlawanan yang sukar apabila Brazil terikat 1-1 menentang Switzerland pada Ahad, dikasari kira-kira 10 kali ketika perlawanan, paling banyak dihadapi mana-mana pemain dalam satu perlawanan Piala Dunia untuk tempoh 20 tahun.

Pemain termahal dunia itu, memberi isyarat dia bersedia apabila tampil menjadi tumpuan media di sesi latihan pada Selasa.

Kehadirannya di sesi latihan, 48 jam sebelum pertemuan di Saint Petersburg meningkatkan peluang dia akan disenaraikan.

Sebelum aksi menentang Switzerland, terdapat keraguan mengenai kecergasan menjelang Piala Dunia, selepas tiga bulan tidak beraksi.

Ia adalah aksi kompetitif pertamanya dalam tempoh empat bulan susulan patah tulang kaki kanan yang menamatkan musimnya bersama Paris Saint-Germain pada Februari lalu.

Brazil mengharapkan bintangnya itu untuk mengharungi pusingan akhir di Rostov-on-Don, namun dia gagal melakukan sentuhan akhir atau penyudah untuk memecahkan pertahanan Switzerland yang tersusun rapi.

Sebaliknya, Philippe Coutinho yang membolehkan Brazil memulakan kempen dengan baik menerusi percubaan jarak jauh untuk membuka jaringan.

Bagaimanapun Coutinho menegaskan Neymar kekal kunci utama Brazil mengejar kegemilangan Piala Dunia.

"Neymar adalah antara pemain terbaik dunia. Sudah pasti kehadirannya bersama kami adalah kelebihan yang ketara," kata Coutinho.

"Dia sangat penting. Dia sentiasa mencipta permainan dan peluang."

Empat tahun lalu, Costa Rica mengejutkan England, Itali dan Uruguay untuk mara ke suku akhir, namun mereka lebih memerlukan mata selepas tewas 1-0 kepada Serbia dalam aksi pembukaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 11:16 AM