NEYMAR (tengah) mula berlatih bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP
NEYMAR (tengah) mula berlatih bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP
AFP

SAINT PETERSBURG: Bintang sensasi Brazil, Neymar akan beraksi dalam pertembungan penting menentang Costa Rica, esok walaupun wujud kebimbangan terhadap tahap kecederaannya.

Pemain termahal dunia itu menerima layanan keras pemain Switzerland ketika terikat 1-1 dalam aksi pembukaan Ahad lalu, apabila dikasari 10 kali sepanjang permainan, rekod baharu terbanyak dalam Piala Dunia sejak 20 tahun lalu.

Kesan daripada kekasaran itu tampak membayanginya apabila Neymar diketepikan pada sesi latihan Selasa lalu.

Bagaimanapun, dia kembali menyertai latihan semalam dan Tite menegaskan bukan risiko besar untuk menyenaraikan semula penyerang itu.

“Kesebelasan utama yang sama akan diturunkan menentang Switzerland,” kata Tite. “Kami mahu memenangi perlawanan itu, ia adalah Piala Dunia, tetapi saya tidak akan bertolak ansur apabila membabitkan kecederaan. Ia amat berisiko.”

Malahan sebelum dikaitkan dengan kecederaan terbaru, sudah timbul kebimbangan terhadap tahap kecergasan Neymar selepas mengalami keretakan kaki pada Februari lalu.

Neymar kembali beraksi dan meledak gol pada aksi pemanas badan menentang Croatia dan Austria, tetapi Tite mengakui penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu memerlukan sehingga lima perlawanan untuk kembali berada dalam prestasi terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 10:32 PM