PEMAIN Brazil, Neymar meraikan jaringan kemenangan pasukan ketika menewaskan Costa Rica 2-0. FOTO Reuters
PEMAIN Brazil, Neymar meraikan jaringan kemenangan pasukan ketika menewaskan Costa Rica 2-0. FOTO Reuters
AFP

SAINT PETERSBURG: Jurulatih Brazil, Tite berkata Neymar memerlukan masa untuk mengembalikan prestasi terbaiknya di Piala Dunia selepas turut meledak gol ketika membenam Costa Rica 2-0, semalam.

Neymar yang beraksi untuk keseluruhan permainan di Stadium Saint Petersburg menyimpan ‘taringnya’ sehingga minit ke-96 perlawanan apabila menyumbat gol kedua Brazil selepas Philippe Coutinho membuka tirai jaringan, lima minit lebih awal.

Ia adalah perlawanan keempat Neymar sejak tersisih selama lebih tiga setengah bulan berikutan kecederaan patah tulang yang dialaminya pada penghujung musim lalu.

“Dia meneruskan prosesnya,” kata Tite. “Dia bermain keseluruhan perlawanan. Dia adalah manusia biasa, dia memerlukan masa untuk kembali ke standard terbaiknya.

“Sebelum itu, pasukan perlu kuat dan tidak bergantung harap terhadapnya.”

Neymar pada awalnya dinafikan penalti selepas pengadil,  Bjorn Kuipers membuat keputusan untuk mengubah keputusan lebih awal berikutan nasihat daripada Video Bantuan Pengadil.

Begitupun, kelegaan mula terpancar apabila Coutinho akhirnya memecah kebuntuan dengan Tite tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila terjatuh ketika meraikannya di atas padang.

“Saya fikir saya otot saya terseliuh,” kata Tite. “Saya agak terhincut-hincut sekarang selepas meraikannya. Kami semua agak terlalu teruja.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 12:57 AM