PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal undur diri. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal undur diri. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Ajitpal Singh

 

DATUK Seri Subahan Kamal mengesahkan yang dia akan melepaskan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Subahan, 53, yang dilantik Februari tahun lalu, akan menyatakan hasratnya untuk meletak jawatan kepada ahli gabungan FAS ketika mesyuarat jawatankuasa eksekutif persatuan itu di Kelana Jaya Khamis ini.

Subahan turut mengesahkan timbalannya Datuk Seri Sharil Mokhtar juga akan melepaskan jawatannya. FAS kemudian perlu mengadakan mesyuarat agung luar biasa bagi memilih presiden dan timbalan baharu.

Antara calon yang dikatakan akan mengisi kerusi presiden badan induk bola sepak Selangor itu ialah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Iya, saya akan memberitahu ahli gabungan berkenaan hasrat saya meletak jawatan Khamis ini. Ketika ini, saya mempunyai banyak komitmen kerana saya juga presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Dalam hoki, saya mahu memberi tumpuan bagi membantu Malaysia layak ke Olimpik Tokyo 2020. Selain komitmen dalam sukan, saya juga perlu memberi tumpuan kepada perniagaan.

“Saya sebelum ini dalam perbincangan dengan kelab besar Liga Perdana Inggeris yang berminat untuk bekerjasama dengan Selangor. Saya akan hubungkan kelab itu dengan presiden baharu. Kelab itu mahu membina jenama mereka di rantau ini dan berupaya membantu Selangor daripada segi kewangan.

“Kesemua perbelanjaan yang tertunggak akan diselesaikan minggu ini. Saya akan terus menyokong Selangor sebagai peminat setia. Satu penghargaan buat saya dapat berkhidmat untuk FAS.”

Subahan percaya sepanjang menerajui FAS, dia sudah memainkan peranan sebaiknya tambahan pula Selangor antara pasukan Liga Malaysia yang tidak mendapat sokongan kerajaan negeri.

"Saya tidak setuju jika dikatakan kami tidak menunjukkan prestasi baik tahun ini. Mungkin kedudukan kami di tangga kesembilan tetapi saya percaya pasukan akan berada dalam kelompok enam terbaik menjelang akhir musim.

"Kita juga berjaya mara ke separuh akhir Piala FA dan jika berjalan lancar, kelab mungkin ke final dan memenanginya. Seperti yang saya katakan kepada peminat dan pengkritik sebelum ini, jangan harapkan keajaiban dari Selangor musim ini.

"Kami mengambil risiko dengan menaikkan pemain-pemain muda daripada skuad Piala Presiden dan mereka beraksi dengan baik dalam liga. Perancangan kami untuk memberi pendedahan musim ini dan saya yakin dalam tempoh tiga tahun mereka layak mewakili negara,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 6:43 PM