RICCIARDO (kanan) dan Hamilton ketika meraikan kejayaan di Catalunya, minggu lalu.
RICCIARDO (kanan) dan Hamilton ketika meraikan kejayaan di Catalunya, minggu lalu.
Reuters

Monaco: Daniel Ricciardo berjenaka dia mempunyai strategi baru bagi perlumbaan di Monaco tahun ini, tiada hentian pit, hanya terus berlumba hingga ke garisan penamat.

Sudah tentu peraturan tidak membenarkan dia melakukannya namun komen itu jelas disebabkan keperitan tahun lalu apabila pemandu Australia itu meraih petak utama namun dirampas kejuaraan berikutan kesilapan hentian pit.

“Ia memedihkan, menyakitkan,” kata pemandu Red Bull itu, yang berakhir di tangga kedua di belakang Lewis Hamilton dari Mercedes ketika itu. “Saya masuk ke hentian pit dan setiap orang melepasi saya satu demi satu.”

Petak utama itu satu-satunya yang tidak dimenangi pasukan juara Mercedes tahun lalu dan Ricciardo menebus kekecewaan itu apabila dia kemudiannya menang di Malaysia selepas Hamilton mengalami masalah enjin.

Pencabar kejuaraan Hamilton dan Sebastian Vettel dari Ferrari, yang dipisahkan hanya enam mata dan masing-masing dengan dua kemenangan, bermula sebagai pemandu pilihan di litar jalanan itu Ahad ini.

Namun Ricciardo yakin dia sekali lagi mampu mencelah sekalipun enjin Renault dipandunya kurang berkuasa.

“Tidak kira sama ada kereta itu tiba atau tidak di Monaco, saya tetap yakin pergi ke sana,” katanya pada perlumbaan Grand Prix Sepanyol, yang mana dia menduduki tangga ketiga.

“Saya berasakan saya seperti menguasai litar jalanan itu... saya sudah teruja memikirkan mengenai Monaco, saya sukakannya. Ia menarik,” ujarnya.

“Memori tahun lalu tetap manis jadi saya amat teruja untuk mengintai peluang sekali lagi tahun ini.”

Kedua-dua Hamilton dan Vettel mempunyai sesuatu yang mahu dicapai pada hujung minggu yang dijangka panas di pantai Mediterranean itu.

Vettel, pendahulu kejuaraan, mahu muncul pemandu pertama Ferrari menang di Monaco sejak Michael Schumacher pada 2001.

Hamilton pula boleh menyamai rekod idolanya mendiang Ayrton Senna dengan kutipan 65 petak utama sepanjang karier pada ulang tahun ke-30 kemenangan pertama pemandu Brazil itu di Monaco.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 10:15 AM