PENJAGA gol Kelantan, Muhammad Fikri Che Soh menyelamatkan bola ketika Kuala Lumpur menentang Kelantan. -Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
PENJAGA gol Kelantan, Muhammad Fikri Che Soh menyelamatkan bola ketika Kuala Lumpur menentang Kelantan. -Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Attirmidzie Rahman

AKSI tidak kosisten pasukan Kelantan dalam beberapa perlawanan termasuk mengalami kekalahan besar 5-1 ketika berdepan Kuala Lumpur Selasa lalu memberikan dilema buat penyokong setia mereka.

Malah dalam pertemuan terakhir itu, anak buah Fajer Ebrahim dilihat gagal mengekalkan corak permainan yang kemas seperti pertemuan dengan pasukan yang sama di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

Bagi Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors (TRW) Lembah Klang, Mohd Faizal Hasbi berpendapat pasukan itu berdepan kelemahan dari segi pengalaman pemain kerana mereka yang diturunkan terdiri daripada muka baharu dan muda.

“Penyokong serta kelab penyokong sebelum ini masing-masing hanya tunggu dan lihat apa perubahan yang mahu dilakukan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bersama Fajer dalam membentuk sebuah pasukan baharu.

“Namun selepas tidak kosisten dalam beberapa perlawanan dan yang terbaharu pasukan gagal mengekalkan rentak permainan yang baik sehingga menyebabkan kekalahan teruk ini yang membuatkan kami berada keadaan dilema dan bimbang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kedatangan Fajer dalam skuad Kijang Merah turut menyaksikan ‘operasi pemutihan’ pemain pasukan dilakukan besar-besaran apabila ramai dikalangan pemain bintang turut disisihkan serta ditamatkan kontrak serta-merta susulan beberapa faktor.

Antara faktor yang diketahui setakat ini adalah pemain yang dikeluarkan gagal mematuhi disiplin yang diterapkan bekas jurulatih kebangsaan Syria itu selain ada pemain yang tidak cergas dan tidak mampu mengikut corak permainan pantas.

Mengulas mengenainya, Mohd Faizal berkata tindakan itu menimbul kemarahan segelintir penyokong pasukan memandangkan terdapat pemain yang digugurkan adalah pemain kesayangan mereka.

“Dari sudut penyokong amatlah tidak puas hati memandangkan ia dibuat secara drastik, namun di sudut pengurusan pula mesti ada jawapan yang tersendiri khususnya untuk mengurangkan perbelanjaan pasukan.

“Namun jika sesebuah pasukan beraksi tanpa kelibat pemain yang berpengalaman atau pemain import yang digeruni ia menyukarkan pasukan untuk menjelmakan kemenangan.

“Ini kerana sebuah pasukan walaupun mereka membariskan pemain muda tetapi khidmat beberapa pemain berpengalaman serta penyerang import yang berkualiti masih ada dalam kesebelasan pada setiap perlawanan.

“Jadi harapan penyokong agar akan ada satu anjakan yang terbaik buat pasukan selepas ini yang dilakukan baik daripada Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan atau Fajer demi menaikkan pasukan sekaligus mengekalkan pasukan dalam Liga Super pada musim hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 1:46 PM