PENYERANG Kelantan Shafiq Shaharudin (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika aksi menentang KL di Stadium Sultan Mohd Ke IV. FOTO Fathil Asri.
PENYERANG Kelantan Shafiq Shaharudin (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika aksi menentang KL di Stadium Sultan Mohd Ke IV. FOTO Fathil Asri.
Rodly Fadly 


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) perlu mengambil langkah segera menyelamatkan pasukan negeri itu susulan kedudukan mereka dalam Liga Super yang kian tenat selepas kekalahan 1-5 kepada Kuala Lumpur, kelmarin.

Penasihat Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Kelantan (PBPBK), Yassin Md Nor berkata beberapa isu yang melanda KAFA sejak kebelakangan ini ternyata telah memberi tempias kepada prestasi pasukan sehingga menjerumuskan The Red Warriors ke zon penyingkiran.

Yassin berkata, walaupun kebanyakan peminat menyokong langkah transformasi dilakukan jurulatih baharu, Fajer Ebrahim namun beberapa tindakan KAFA dilihat lebih membawa kemudaratan kepada pasukan.

“Contohnya penyingkiran ramai pemain senior seperti Apek (Khairul Fahmi Che Mat), Piya (Badhri Radzi) dan Taj (Amiridzwan Taj Tajuddin) dilihat tidak kena pada masanya. Perubahan drastik sebegini perlu dilakukan sejak awal musim bukan pada pertengahan liga kerana ia mengganggu momentum pasukan.

“Sepatutnya bila liga sudah bermula, setiap pasukan hanya perlu melakukan penambahbaikan bukan merombak secara drastik sebagaimana dilakukan KAFA.

“Kelantan kini ibarat orang sakit yang bila-bila masa boleh masuk ICU (Unit Rawatan Rapi)  jika tidak segera dirawat. Saya rasa belum terlambat kerana masih ada 11 perlawanan liga untuk diharungi.

“Dalam keadaan sekarang, KAFA perlu bertindak segera mencari pemain import yang bagus untuk memulihkan prestasi. Fajer  tidak boleh bergantung pada pemain muda kerana mereka tidak mempunyai pengalaman,” kata Yassin.

Sementara itu Timbalan Presiden PBPBK, Anuar Rajib mahu Fajer bertanggungjawab penuh atas prestasi buruk The Red Warriors serta meminta jurulatih itu menyelesaikan tugasnya.

“Pasukan ini menjadi ‘kuca lana’ (kelam-kabut) sejak Fajer mengambil alih. Dia buang pemain sesuka hati malah apa yang menyedihkan tindakannya ke atas pemain yang disingkir lebih bersifat peribadi berbanding prestasi.

“Jurulatih yang melakukan semua ini, jadi saya harap dia bertanggungjawab. Dia yang membuat kerosakan dan saya mahu dia juga yang memperbaikinya,” tegas Annuar.

Sejak mengharungi enam perlawanan di bawah Fajer, Kelantan hanya menang dan seri satu perlawanan dengan mengalami empat kekalahan.

Pasukan itu  kini di tangga ke-11 liga dengan 8 mata dan berdepan bahaya tersingkir ke Liga Perdana musim depan jika gagal keluar dari zon penyingkiran yang dihuni bersama pasukan tercorot, Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 12:49 PM