BIBI Ramjani akan adakan perbincangan dengan pengurusan pasukan. -Foto fail
BIBI Ramjani akan adakan perbincangan dengan pengurusan pasukan. -Foto fail
Attirmidzie Rahman


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) akan membuat keputusan mengenai kedudukan masa depan jurulatih pasukan, Sathit Bensoh pada minggu depan.

Mengesahkan perkembangan itu, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata pengurusan pasukan akan mengadakan perbincangan mengenainya sebelum mengambil sebarang keputusan muktamad.

Katanya, setakat ini perubahan mengenai barisan kejurulatihan masih belum berlaku.

“Kita tidak mahu terburu-buru. Namun jika ia perlu kepada pertukaran kita kena lakukan kerana dengan pertukaran ini akan berlaku perubahan dalam pasukan.

“Panel penilaian sudah menilai Sathit dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Setakat ini keputusan penilaian itu juga masih 50-50 dan ini kita perlu bincangkan secara lanjut sehingga Sabtu ini.

“Mungkin selepas hari itu kita sudah ada keputusan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Bibi Ramjani memaklumkan nama pemain import untuk dibawa keluar daripada pasukan susulan kemasukan Mohammad Ghaddar juga akan diketahui dalam masa terdekat.

Katanya, pihaknya berharap penyokong pasukan bersabar dan memberi sedikit masa kepada pengurusan bagi membuat keputusan tepat mengenai hal ini.

“Memang kita terpaksa mengetepikan seorang daripada pemain import bagi mengosongkan satu kuota untuk Ghaddar.

“Namun perkara itu perlu diteliti. Sekarang ini kita tunggu semua laporan mengenainya lengkap dan baru kita dapat satu keputusan yang baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 3:32 PM