FABREGAS
FABREGAS

Biarpun Diego Costa lebih menyerlah sebagai tajuk utama akhbar menerusi jaringan demi jaringan dilakukan serta gaya permainan lasak dipamer sejak menyertai Chelsea, tumpuan sebenar lebih terarah kepada seorang lagi pemain dibeli dari Sepanyol membantu skuad kendalian Jose Mourinho muncul pasukan kental musim ini.

Apa menariknya adalah bukan saja pembelian Cesc Fabregas bernilai £30 juta (RM155 juta) dari Barcelona menyebabkan peminat Arsenal menjadi kecoh malah segelintir penyokong setia di Stamford Bridge turut mempersoal pilihan pengurus itu.

Bukannya bakat pemain Sepanyol itu yang menjadi isu tetapi adakah mereka mampu mengalu-alukan seorang pemain mempunyai sejarah dengan kelab pesaing dari London ke dalam skuad Mourinho yang mempunyai ikatan pasukan yang kuat.

Tidak sampai lima bulan, Fabregas mengenepikan keraguan dan membuktikan komitmen kepada pasukan barat London itu.

Dia beraksi cemerlang dan membuang segala keraguan selepas aksi cemerlang Blues pada sebahagian kempen musim Liga Perdana Inggeris (EPL).

Chelsea berada tiga mata di depan selaku pendahulu liga dan menjaringkan gol bersama tertinggi dan ia adalah dua aspek pujian yang wajar diberikan terhadap Fabregas.

Selepas melakukan hantaran kepada Eden Hazard bagi membolehkan pemain Belgium itu menyamakan kedudukan menentang Southampton, Ahad lalu, pemain berusia 27 tahun itu sudah membantu 13 jaringan dalam saingan utama liga musim ini.

Bukan saja jaringan tertinggi dalam liga malah menjaringkan lima gol lebih banyak berbanding Gylfi Sigurdsson dari Swansea yang berada di tempat kedua.

Pemain Everton, Leighton Baines dan Dusan Tadic dari Southampton berkongsi di tempat ketiga dengan tujuh gerakan tetapi mereka tertinggal jauh di belakang pemain tengah Sepanyol itu.

Memang mudah mengatakan Fabregas melakukan lebih gerakan menjaringkan gol kerana membantu Costa bernilai £32 juta (RM163 juta) tetapi apa berlaku adalah sebaliknya.

Fabregas mencipta 61 peluang (termasuk bantuan) sepanjang musim ini, tujuh lebih banyak berbanding Stewart Downing dan lebih 10 di depan penyerang Arsenal, Alexis Sanchez.

Dia melakukan purata 3.33 peluang menjaringkan gol bagi setiap 90 minit sejak berhijrah ke Stamford Bridge dan mempamerkan prestasi konsisten dalam 19 perlawanan dilalui.

Kapten Liverpool, Steven Gerrard melakukan 13 gerakan membantu jaringan sepanjang kempen 2013-14 tetapi Fabregas sudah menyamai pencapaian itu ketika musim baru pada peringkat pertengahan.

Satu lagi gerakan membantu jaringan akan meletakkannya di tangga keenam dalam senarai pemain paling banyak melakukan gerakan gol sepanjang masa dalam Liga Perdana bersama Ashley Young, David Beckham dan Didier Drogba.

Fabregas tidak berpuas hati dengan pencapaian itu kerana semakin menghampiri rekod Thierry Henry mencatat 20 gerakan membantu jaringan gol dilakukan ketika bersama Arsenal pada musim 2002-03.

Rekod dilakukan oleh pemain Perancis itu masih belum tergugat selama lebih satu dekad tetapi rakan sepasukannya masih mempunyai kemahiran, pengalaman dan kemampuan untuk memecahkan rekod itu.

Jika Fabregas meneruskan prestasi cemerlangnya untuk mencipta jaringan seperti itu sehingga Mei, dia akan mengakhiri musim dengan 26 gerakan sepanjang musim.

Costa mungkin meledak lebih banyak gol dan menarik perhatian andai rakan sepasukannya meneruskan prestasi semasanya tetapi Fabregas tetap akan muncul sebagai pemain paling berpengaruh dibeli oleh Mourinho sepanjang musim panas lalu.

Bekas pemain Barcelona itu hanya memerlukan lapan lagi untuk mengatasi rekod Thierry Henry.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 5:02 AM