RASHID SIDEK
RASHID SIDEK
Fabian Peter


BEKAS pemain perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek mahu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) supaya mengikut jejak bekas presiden badan induk itu, Allahyarham Tan Sri Elyas Omar yang tidak mengamalkan protokol.

Rashid yang membantu Malaysia muncul juara Piala Thomas 1992 berkata, Elyas yang meninggal dunia pada 7.15 malam tadi akibat pelbagai komplikasi kesihatan adalah seorang individu yang sentiasa bebas dan bergaul bersama pemain.

“Beliau adalah seorang presiden yang banyak menyumbang kepada sukan badminton negara. Ketika zamannya, beliau berjaya melakukan perubahan positif,” kata Rashid selepas majlis penajaan Fleet kepada pasukan Uber Mauritius di Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.

Jelasnya, salah satu sumbangan besar kepada pasukan badminton negara ketika itu ialah membawa masuk jurulatih berpengalaman dari China untuk memperkuatkan pasukan.

“Program yang diperkenalkan untuk Piala Thomas itu sangat berjaya. Pada 1986 kami berjaya mara sehingga ke separuh akhir, selepas itu ke final pada dua edisi berikutnya, sebelum menjulang trofi pada 1992.

“Pemain sangat menyukai caranya. Beliau mudah untuk didekati dan kami kerap berkunjung ke rumahnya untuk mendapatkan nasihat. Ketika itu jika kami kecewa, kami akan sentiasa mencarinya.

“Beliau adalah individu yang menyuntik keberanian kepada kami. Beliau yang membimbing kami agar tidak takut dengan sesiapa saja,” katanya.

Selain menjadi presiden BAM dalam tempoh lapan tahun sejak 1985, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur itu juga pernah menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur dari 1987 hingga 1989.

Sementara itu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria juga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Elyas Omar, yang juga bekas presiden BAM. Legasi dan sumbangannya kepada sukan tempatan terutamanya badminton akan sentiasa dikenang.

“Ia satu kehilangan besar buat rakyat Malaysia. Agar rohnya dicucuri rahmat,” kata Norza.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 7:34 PM