PEMAIN Liverpool, Roberto Firmino (kiri) meraikan jaringan bersama Mohamed Salah ketika aksi Liga Juara-Juara menentang AS Roma. - Foto AFP
PEMAIN Liverpool, Roberto Firmino (kiri) meraikan jaringan bersama Mohamed Salah ketika aksi Liga Juara-Juara menentang AS Roma. - Foto AFP

JUERGEN Klopp yakin pemain tonggak Liverpool akan mengikuti jejak penyerang, Roberto Firmino dan melanjutkan kontrak mereka bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Pemain kebangsaan Brazil, Firmino yang sudah menjaringkan 27 gol dan melakukan 16 umpanan dalam 50 perlawanan musim ini menandatangani kontrak lanjutan jangka panjang baharu bersama The Reds.

“Ia berita yang amat penting bagi kami. Cukup menggembirakan,” kata Klopp memetik laman web Liverpool, www.liverpoolfc.com

“Sudah pasti, ini adalah langkah yang amat penting bagi kami. Begitupun, Roberto tidak boleh bermain berseorangan. Ketika ini, semua pemain tahu mengenai rancangan kami.

“Dia adalah yang pertama tetapi sudah pasti dia bukan yang terakhir.”

Media di British melaporkan perbincangan membabitkan seorang lagi penyerang,  Sadio Mane, Mohamed Salah bersama Ragnar Klavan dan Alberto Moreno juga sudah hampir dimuktamadkan.

Gol daripada Salah, Firmino dan Mane membantu Liverpool mendaki ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris dan melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

Liverpool akan berkunjung ke AS Roma bagi aksi kedua separuh akhir dengan kelebihan 5-2 secara agregat, awal pagi Khamis ini sebelum membuat kunjungan ke Chelsea bagi aksi liga. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 12:27 AM