SKUAD muda Liverpool singkirkan Arsenal untuk mara ke suku akhir Piala Liga. — FOTO liverpoolfc.com
SKUAD muda Liverpool singkirkan Arsenal untuk mara ke suku akhir Piala Liga. — FOTO liverpoolfc.com
AFP

LIVERPOOL akan bermain dua perlawanan dalam tempoh dua hari di dua negara selepas aksi suku akhir Piala Liga Inggeris menentang Aston Villa dijadualkan sehari sebelum aksi separuh akhir Piala Kelab Dunia di Qatar.

Juara Eropah itu akan bertandang ke Villa Park pada 17 Disember ini, menurut penganjur Piala Liga, Liga Bolasepak Inggeris lewat malam tadi.

Liverpool bermain aksi pertama Piala Kelab Dunia di Doha sehari kemudian, bermakna Reds terpaksa menggunakan dua skuad berbeza bagi dua perlawanan itu.

“Kami akan menggunakan dua skuad secara serentak, satu bertanding pada Piala Kelab Dunia di Qatar dan satu lagi bagi Piala Liga,” menurut Liverpool dalam satu kenyataan.

“Sekalipun senario ini tidak ideal, kami tetap menerimanya dengan hati terbuka demi kepentingan pertandingan ini serta kelab yang menyertainya.”

Disebabkan jadual pada pertengahan minggu dalam Liga Perdana Disember ini dan pembabitan Liverpool dalam Liga Juara-Juara serta Piala Kelab Dunia, tidak ada tempoh pertengahan minggu yang terluang untuk aksi suku akhir itu sebelum separuh akhir yang dijadualkan pada awal Januari.

“Kami boleh mengesahkan tarikh alternatif ada dibincangkan namun semuanya tidak sesuai dengan mengambil kira jadual pertandingan serta bebanan terhadap pemain kami,” menurut kenyataan Liverpool.

Juergen Klopp menurunkan skuad lebih muda bagi kedua-dua kemenangan Liverpool dalam Piala Liga musim ini ke atas MK Dons dan Arsenal.

Dijangkakan bintang utama seperti Sadio Mane, Mohamed Salah dan Roberto Firmino akan menuju ke Qatar ketika Liverpool menyasarkan untuk menjuarai Piala Kelab Dunia buat kali pertama, meninggalkan pemain muda beraksi dalam Piala Liga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 1:00 PM