KLOPP (baju hitam) mahu anak buah fokus dan lupakan status juara Eropah. FOTO/AFP
KLOPP (baju hitam) mahu anak buah fokus dan lupakan status juara Eropah. FOTO/AFP
AFP

JUERGEN Klopp berkata Liverpool perlu belajar menangani status mereka sebagai juara Eropah menjelang sepak mula kempen baharu menentang juara Liga Perdana Inggeris Manchester City dalam aksi Perisai Komuniti di Wembley malam esok.

Klopp berkata skuadnya kini diperhatikan sejak kejayaan membenam Tottenham pada final Liga Juara-Juara Jun lalu, namun pengendali Reds itu yakin bintangnya tidak akan terleka daripada memberikan fokus terhadap musim akan datang.

“Jika anda menang sesuatu, semua orang menganggap mereka perlu memberi tahu anda - mulanya ucapan tahniah, kemudian di mana mereka menontonnya, bagaimana mereka menontonnya, apa perasaan mereka, apa perasaan keluarga mereka, apa perasaan rakan mereka, apa perasaan anjing mereka,” kata Klopp.

“Semuanya baik, tetapi ia membuat anda kekal pada masa itu. Saya mahu fokus sepenuhnya untuk musim depan.

“Ia amat penting dan kami akan belajar daripadanya tetapi tiada siapa memberikan anda buku ‘Bagaimana Menangani Kemenangan Liga Juara-Juara’. Anda perlu lakukannya sendiri dan kami akan lakukannya.”

Klopp menambah tiada tekanan tambahan dirasai mereka selepas Liverpool menjulang gelaran Eropah keenam apatah lagi tanpa pembelian berprofil tinggi pada musim rehat liga.

Dengan ketiadaan Daniel Sturridge dan Alberto Moreno daripada skuad yang menjulang gelaran Liga Juara-Juara dan menjadi naib juara kepada City, Klopp yakin lanjutan kontrak pemain utama iaitu Mohamed Salah, Sadio Mane, Roberto Firmino, Trent Alexander-Arnold dan Andrew Robertson sama pentingnya seperti mendapatkan pemain baharu.

“Itulah perpindahan yang kami lakukan, mengekalkan pemain kami, bersedia, kekal agresif dan tamakkan kejayaan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 9:49 AM