MANE (dua dari kiri) kembali ke tahap terbaik selepas jaring gol pembukaan Liverpool. -Foto fail
MANE (dua dari kiri) kembali ke tahap terbaik selepas jaring gol pembukaan Liverpool. -Foto fail
Reuters

LONDON: Pengurus Liverpool Juergen Klopp memuji prestasi ditampilkan Sadio Mane yang meledak gol bagi membantu skuad kendaliannya menewaskan Burnley 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Tanpa kelibat Mohamed Salah dan Philippe Coutinho yang cedera serta Firmino yang diletakkan di bangku simpanan, Mane menjadi satu-satunya pemain yang diberi jolokan ‘empat terhebat’ Liverpool berada dalam kesebelasan utama.

Pemain kelahiran Senegal itu membuktikan ketajamannya apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-61 dengan penyudah hebat menggunakan kaki kirinya yang gagal dikekang penjaga gol Burley, Nick Pope.

Begitupun, tuan rumah kembali menyamakan kedudukan menerusi tandukan Johann Berg Gudmundsson pada minit ke-87 yang hampir mengecewakan Liverpool sebelum pertahanan Estonia, Ragnar Klavan menyumbat masuk gol kemenangan pada minit ke-94 berpunca daripada tandukan Dejan Lovren.

“Dia (Mane) datang ke bilik persalinan dan keseluruhan pasukan bangun dan bersalaman dengannya, kerana mereka tahu, dia akan kembali ke tahap terbaik,” kata Klopp.

“Sudah banyak contoh di mana dia sememangnya kuat, pantas dalam pelbagai perkara. Dan pada ketika dia tidak begitu menjadi, dia menjaringkan gol seperti ini dan ia seperti ‘wow’.”

Bagi menghadapi jadual perlawanan yang padat, kebanyakan pengurus melakukan penggiliran pemain dengan Klopp turut melakukan tujuh perubahan sebelum memperoleh kemenangan keduanya dalam tempoh 48 jam.

Tetapi ketiadaan Coutinho jelas akan menguatkan lagi spekulasi mengenai masa dengannya terutama pada jendela perpindahan Januari sekali pun pengurus dari Jerman itu menegaskan pemain Brazil itu mengalami kecederaan paha.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 1:39 PM