ORIGI. FOTO Reuters
ORIGI. FOTO Reuters
AFP

JUERGEN Klopp mengejutkan ramai dengan pemilihan skuadnya sebelum pertembungan kelab Merseyside tetapi ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris itu mengekalkan 33 perlawanan tanpa kalah, Divock Origi sebaliknya menjadi buah mulut di Anfield.

Skuad Reds berkunjung ke Bournemouth malam esok selepas mencatat rekod kelab untuk perlawanan tanpa kalah berturut-turut dalam sejarah mereka.

Namun perkara yang wajar diberi perhatian lawan mengenai kemenangan 5-2 ke atas Everton - keputusan yang mungkin menyebabkan Marco Silva kehilangan kerjanya - adalah bagaimana Klopp mempamerkan ketajaman skuadnya.

Origi, 24, sudah sekian lama mengesahkan tempatnya dalam skuad Liverpool, yang memastikan mereka menang pertembungan Merseyside tahun lalu.

Dia turut membantu pasukannya mara ke final Liga Juara-Juara, meledak dua gol pada aksi separuh akhir luar biasa untuk menyingkirkan Barcelona 4-0.

Kini dua jaringannya ketika aksi setempat itu membuktikan peningkatannya dan potensinya menggalas watak penting sekiranya Liverpool mahu terus meraih kejuaraan liga pertama dalam tempoh 30 tahun.

Pemilihan Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino di barisan depan kekal automatik dan terbukti trio terbaik bola sepak Eropah.

Namun Klopp tetap yakin untuk merehatkan Salah dan Firmino menentang Everton, memilih Origi sebagai pemain nombor sembilan, fokus utama trio penyerang Liverpool.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 9:53 AM