KLOPP sudah dua tahun bersama Liverpool.
KLOPP sudah dua tahun bersama Liverpool.
AFP

LIVERPOOL, England: Apabila Juergen Klopp tiba di Liverpool pada Oktober 2015, beliau berjanji: “Jika kami duduk di sini dalam tempoh empat tahun, saya fikir kami akan menang satu kejuaraan,” katanya.

Bulan depan akan menandakan genap ulang tahun kedua pelantikan Klopp, separuh perjalanan daripada kontrak empat tahun.

Tidak diragukan ada peningkatan dalam tempoh itu; pasukan yang berada di tangga ke-10 Liga Perdana Inggeis apabila beliau tiba berakhir di tangga keempat musim lalu.

Sama ada ia semakin hampir memenangi trofi kejuaraan utama masih menjadi topik perdebatan.

Liverpool layak ke dua final dalam tujuh bulan pertama Klopp sebagai pengurus, tumpas menerusi penentuan penalti kepada Manchester City pada final Piala Liga di Wembley dan mengalami kekalahan 1-3 kepada Sevilla pada final Liga Europa di Basel.

Perjalanan di Eropah itu satu bonus yang tidak dijangka.

Jangkaan dan harapan di Anfield kini lebih tinggi namun Liverpool kelihatan jauh daripada satu pasukan lengkap ketika mereka bersiap sedia menentang Sevilla sekali lagi, kali ini dalam Liga Juara-Juara di Anfield awal pagi Khamis ini.

Persembahan terbaik dan terburuk Liverpool pada 2017 terserlah apabila mereka menundukkan Hoffenheim pada play-off bulan lalu untuk layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Pasukan Klopp memperagakan bisa serangan yang boleh mengancam mana-mana pasukan terbaik di Eropah.

Pemain baru Mohamed Salah pantas membentuk persefahaman jitu dengan Sadio Mane dan Roberto Firmino.

Salah dan Firmino kedua-duanya meledak gol ketika aksi di laman sendiri manakala Mane turut terbabit dalam dua daripada gol itu.

Jika memperkatakan mengenai bakat serangan, mereka masih mempunyai Philippe Coutinho yang belum beraksi selepas dia gagal berpindah ke Barcelona.

SALAH (kanan) pantas bentuk persefahaman dengan Firmino.
SALAH (kanan) pantas bentuk persefahaman dengan Firmino.

Secara bertahan bagaimanapun Liverpool kelihatan lesu dalam kedua-dua aksi menentang Hoffenheim; mereka mungkin boleh melepaskan lebih tiga gol dalam perlawanan itu.

Liverpool memang agak rapuh secara bertahan musim lalu dan masalah itu berterusan dalam kempen terbaru.

Klopp mengikat Loris Karius dari Mainz untuk menjadi penjaga gol utamanya kemudian mengetepikannya pada pertengahan musim lalu.

Ragnar Klavan, seorang lagi pemain dibeli Klopp dari Augsburg, menggantikan Dejan Lovren ketika dibelasah Manchester City 5-0 di Etihad Sabtu lalu.

Bagaimanapun, kekalahan itu menyaksikan mereka mampu bersaing dengan City dan hanya ketinggalan 0-1 apabila Mane dibuang padang.

KLAVAN (kanan) gagal sekat serangan City pada aksi EPL minggu lalu.
KLAVAN (kanan) gagal sekat serangan City pada aksi EPL minggu lalu.

“Kami perlu mengulangi aksi 20 minit pertama daripada perlawanan Sabtu lalu dan bagaimana kami bermain sebelum rehat tugasan antarabangsa dan membawanya ke perlawanan berikutnya,” ujar penjaga gol Simon Mignolet.

“Sudah tentu, kami tidak boleh mengabaikan persembahan selepas itu tapi kami ada satu lagi perlawanan pada pertengahan minggu dan kami boleh membuktikan kekuatan kami.”

Ada ketikanya, dirasakan Klopp mensia-siakan dua tahun dan banyak wang membentuk semula pasukan Liverpool yang hampir menjuarai Liga Perdana di bawah kendalian Brendan Rodgers empat musim lalu.

Mereka memukau ketika menyerang, petaka menanti ketika bertahan. Persoalannya sama ada Sevilla sedia menghukum mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 12:37 PM