NAIB Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, (FAM), Mohd Joehari Mohd Ayub (tiga kiri), Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (dua kiri) bersama exco FAM bergambar bersama Piala AFC bawah 16 selepas cabutan undian kejohanan bolasepak bawah 16 AFC yang bakal berlangsung di Malaysia pada bulan september ini di AFC House. - Foto Owee Ah Chun
NAIB Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, (FAM), Mohd Joehari Mohd Ayub (tiga kiri), Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (dua kiri) bersama exco FAM bergambar bersama Piala AFC bawah 16 selepas cabutan undian kejohanan bolasepak bawah 16 AFC yang bakal berlangsung di Malaysia pada bulan september ini di AFC House. - Foto Owee Ah Chun
Firdaus Hashim


TUGAS sukar menanti pengendali skuad bawah 16 tahun (B-16) negara, Lim Teong Kim dalam Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) apabila skuad bimbingannya diundi dalam Kumpulan A bersama bekas juara dua kali, Jepun, Thailand dan Tajikistan.

Kejohanan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 20 September hingga 10 Oktober ini turut menyaksikan juara bertahan Iraq berada dalam kumpulan maut apabila diletakkan bersama Korea Selatan, Australia dan Afghanistan dalam Kumpulan D.

Manakala bekas juara 2014, Korea Utara pula dihimpunkan dalam Kumpulan B dengan tiga pasukan 'Pak Arab' iaitu Oman, Yaman dan Jordan sementara Iran, Vietnam, India dan Indonesia bersaing di Kumpulan C.

Mengulas lanjut mengenai undian yang berlangsung di AFC House di sini hari ini, Teong Kim mengakui cabaran getir bakal ditempuhi anak buahnya sepanjang kejohanan itu dengan beliau diberi sasaran wajib untuk membawa pasukan layak ke Piala Dunia Remaja B-17 di Peru tahun depan.

Bagaimanapun, bekas pengendali akademi Kelab Bayern Munich di Jerman itu tetap percaya mereka mampu melepasi halangan itu sekali gus merealisasikan impian jutaan peminat tempatan untuk melihat Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia.

"Menyertai Piala Dunia B-17 adalah matlamat utama kami sejak empat tahun lalu. 

"Walaupun ada Jepun dalam kumpulan kita, saya anggap ia bukan suatu masalah kerana kita benar-benar sudah bersedia untuk menghadapi saingan ini.

"Saya tak boleh nak pilih lawan sebab ia diputuskan menerusi sistem undian. Semua pasukan yang bertanding kuat dan peluang untuk kita (melepasi peringkat kumpulan) tetap ada," katanya yang mengakui tidak mempunyai banyak maklumat mengenai pasukan Tajikistan.

Sebanyak 16 pasukan akan berentap untuk mengejar gelaran juara dengan empat pasukan terbaik akan meraih slot automatik ke Piala Dunia.

Pencapaian terbaik skuad negara pada 2014 di Bangkok di mana skuad kendalian S Balachandran ketika itu hampir melakar sejarah layak ke Piala Dunia sebelum tumbang 1-2 kepada Australia di suku akhir.

"Kita mempunyai kelebihan cukup besar kerana akan bermain di tempat sendiri serta sudah biasa dengan cuaca berbanding Jepun dan Tajikistan yang sejuk," katanya yang mempertaruhkan 100 peratus pemain dari Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Info 

Kumpulan A: MALAYSIA, Jepun, Thailand, Tajikistan

Kumpulan B: Korea Utara, Oman, Yaman, Jordan 

Kumpulan C: Iran, Vietnam, India, Indonesia 

Kumpulan D: Iraq, Korea Selatan, Australia, Afghanistan 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 12:03 AM