DHAARMA (kiri) idam penamat lebih baik untuk anak buahnya. -Foto fail
DHAARMA (kiri) idam penamat lebih baik untuk anak buahnya. -Foto fail
Saiful Affendy Sapran

KETUA jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dijangka akan menggunakan formula sama - yang memberikan kejayaan mara buat kali pertama ke separuh akhir Liga Hoki Dunia di Brussels, Belgium, Jun tahun lalu - di dalam persiapan ke Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April depan.

Bagi Dhaarma, beraksi di Sukan Komanwel adalah sama tarafnya seperti ketika mereka mengharungi cabaran di Brussels kerana pasukan yang beraksi rata-ratanya adalah berkelas dunia.

Justeru Dhaarma menegaskan, tidak salah untuk Malaysian Tigress menyimpan cita-cita meraih penamat lebih baik berbanding tempat ketujuh pada edisi terakhir di Glasgow, Scotland empat tahun lalu.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama gergasi dunia, England, India, Afrika Selatan dan Wales sementara Kumpulan B pula dihuni oleh Australia, New Zealand, Scotland, Kanada dan Ghana.

“Kami seharusnya perlu cuba meraih pencapaian lebih baik kerana pasukan seperti Afrika Selatan, India dan Scotland bukanlah begitu jauh tarafnya berbanding kita. Jadi masih ada peluang untuk mengatasi mereka berbanding pasukan-pasukan gergasi seperti England, Australia dan New Zealand.

“Apapun kami akan fokus kepada setiap perlawanan terlebih dulu,” katanya ketika menerima lawatan ketua kontinjen ke Sukan Komanwel, Huang Ying How, hari ini.

Mengenai persiapan ke Gold Coast, Dhaarma berkata, barisan pemainnya akan mengadakan lima siri perlawanan dengan skuad remaja wanita Jepun yang akan hadir ke Malaysia pada bulan depan.

“Kemudian kami akan bertolak ke Gold Coast pada 26 Mac. Di sana, kami akan bermain dua perlawanan dengan pasukan kelab, New South Wales (NSW) dan sedang berusaha untuk mengadakan perlawanan persahabatan bersama pasukan dari Kumpulan B,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 6:27 PM