EMMA dan Siti Zalina masih teruskan saingan pairs wanita. FOTO/FAIL
EMMA dan Siti Zalina masih teruskan saingan pairs wanita. FOTO/FAIL
Daripada Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid di Gold Coast

PERJUANGAN skuad triples wanita di Sukan Komanwel 2018 terkandas di suku akhir apabila tewas kepada Scotland di Broadbeach Bowls Club hari ini.

Auni Fathiah Kamis, Nur Fidrah Noh dan Azlina Arshad terpaksa akur dengan kehebatan Kay Moran, Stacey McDougall dan Caroline Brown apabila tewas 15-17.

Bagaimanapun, pairs wanita terdiri daripada Emma Firyana Saroji-Siti Zalina Ahmad yang masih beraksi di pusingan kelayakan menewaskan Botswana 29-7 sebelum mengecewakan Scotland 18-11 pada pusingan keempat dan kelima.

“Kami sudah menang dua perlawanan di peringkat kumpulan, kami perlu teruskan rentak kemenangan ini,” katanya selepas perlawanan menentang Botswana.

Menurutnya, cuaca berangin mendatangkan masalah terutama kepada Botswana menyebabkan mereka juga perlu melakukan sesuatu jika mahu terus melakar kemenangan.

“Pasukan menghadapi masalah begitu juga dengan kami yang sukar membiasakan diri dengan cuaca berangin.

“Namun setidak-tidaknya sokongan rakan senegara yang datang dari jauh untuk menyaksikan perlawanan ini memberi motivasi kepada kami.”

Dalam satu lagi perlawanan peringkat kumpulan pasukan fours lelaki terdiri daripada Mohamad Syamil Syazwan Ramli, Zulhilme Redzuan, Muhammad Hizlee Abdul Rais dan Fairul Iswan Abd Muin menewaskan Namibia 14-11.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 9:32 PM