NIJEL Amos. FOTO Reuters
NIJEL Amos. FOTO Reuters
Reuters

London: Nijel Amos berkata dia menjual pingat Olimpik pertama Botswana, pingat perak acara 800 meter (m) dari Sukan London 2012, untuk membantu menyara keluarganya selepas digantung selama tiga tahun susulan kegagalan doping, minggu lalu.

Unit Integriti Olahraga menggantung Amos selama tiga tahun pada 3 Mei lalu selepas ujian di luar pertandingan mengesan bahan terlarang dalam sampel air kencingnya. Hukuman itu dikurangkan daripada empat tahun selepas Amos mengaku bersalah.

Dadah yang terdapat dalam badan atlet berusia 29 tahun itu mampu mengubah cara badan memproses lemak, dan Agensi Anti-Doping Dunia berkata ia boleh mengancam risiko kesihatan kepada atlet.

"Pada masa ini, satu-satunya pelaburan atau pencen saya ialah pingat perak Olimpik 2012," kata Amos kepada pemberita di Botswana.

"Saya berhubung dengan beberapa pihak berkepentingan, termasuk penasihat kewangan, tentang bagaimana mereka dapat membantu saya dan keluarga saya.

"Saya bertemu dengan pasukan yang ingin membeli pingat ini dengan nilai AS$339,750 (RM1.52 juta), tetapi dengan dokumentari saya yang bakal ditayangkan di Netflix ia boleh mencecah nilai jauh lebih tinggi," katanya.

Pingat perak yang dimenangi Amos di Sukan London itu adalah pingat pertama dalam sejarah penyertaan Botswana di Sukan Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 11:30 AM