MASISI menunjukkan berlian. FOTO AFP
MASISI menunjukkan berlian. FOTO AFP
Agensi

Gaborone: Berlian yang dipercayai ketiga terbesar pernah ditemui di dunia kini dipamerkan di Botswana.

Ketulan 1.098 karat itu ditunjukkan kepada Presiden Mokgweetsi Masisi, dua minggu selepas syarikat berlian, Debswana menemuinya.

Permata besar itu mencatatkan berat kurang sedikit daripada berlian kedua terbesar di dunia yang juga ditemui di negara itu pada tahun 2015.

Botswana adalah pengeluar berlian terbesar di Afrika.

"Ini adalah berlian terbesar yang dijumpai Debswana dalam sejarahnya selama lebih dari 50 tahun beroperasi.

"Dari analisis awal kami, ia boleh menjadi batu permata ketiga terbesar di dunia," kata Lynette Armstrong, pemangku pengarah urusan Debswana Diamond Company.

Debswana adalah usaha sama antara kerajaan dan gergasi berlian global De Beers, menjana pendapatan negara melalui dividen, royalti dan cukai, sehingga 80 peratus.

Menteri Sumber Asli Botswana, Lefoko Moagi berkata, ia adalah penemuan terbaik negara itu selepas pandemik Covid-19 menyaksikan penjualan berlian merosot tahun lalu.

Permata terbesar pernah ditemui ialah berlian Cullinan 3,106 karat yang dijumpai di Afrika Selatan pada tahun 1905.

Kedua terbesar adalah 1,109 karat Lesedi La Rona yang dijumpai di Botswana pada tahun 2015.

Ketulan berlian yang baru ditemui di lombong Jwaneng itu, masih belum diberikan nama.

Armstrong berkata, keputusan belum diambil mengenai apakah akan menjual 'batu luar biasa' itu sama ada melalui De Beers atau syarikat milik kerajaan, Okavango Diamond.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 6:05 AM