PENJAGA gol United, David De Gea menyelamatkan cubaan pemain Sevilla, Luis Muriel. - Foto REUTERS
PENJAGA gol United, David De Gea menyelamatkan cubaan pemain Sevilla, Luis Muriel. - Foto REUTERS

DAVID de Gea mencuri tumpuan berbanding Paul Pogba dengan satu lagi persembahan hebat di gawang ketika Manchester United pulang dari pertemuan pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara berdepan Sevilla di sini, sebentar tadi yang berakhir dengan keputusan 0-0.

De Gea menyelamatkan dua cubaan bahaya Steven N’Zonzi dan Luis Muriel pada penghujung babak pertama di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan, bagi menafikan tuan rumah kelebihan dibawa ke England dalam perlawanan kedua bulan depan.

Sevilla tampak lebih menyerlah dengan United kurang menyerang, walaupun dengan kehadiran Alexis Sanchez, Romelu Lukaku dan Juan Mata di bahagian serangan.

Jaringan lewat Lukaku dibatalkan, namun United beraksi dengan pendekatan berhati-hati yang ditunjukkan berkali-kali dalam pertemuan seperti ini sebelumnya oleh skuad Mourinho sejak beberapa tahun ini.

Kurangnya kesanggupan untuk mendapatkan gol di tempat lawan menyebabkan pertemuan itu masih terbuka untuk perlawanan kedua dengan United tampak akan mara ke suku akhir dalam penampilan pertama peringkat kalah mati Liga Juara-Juara sejak 2014.

"Saat kami rasa lega hanya beberapa ketika pada babak pertama apabila hasil beberapa kesilapan kami dalam kawalan bola, mereka mendapat situasi yang baik dan De Gea menyelamatkannya," kata Mourinho.

Pasukannya hanya melakukan satu cubaan ke sasaran berbanding lapan buat Sevilla namun Mourinho berkata: "Selain itu, perlawanan lain seimbang, tetapi itulah statistik.

"Saya benar-benar rasa keputusan itu menggambarkan perlawanan. Anda tanya saya, adakah ia keputusan yang bagus? dan saya katakan ia tidak bagus dan tidaklah teruk."

Mourinho membuat keputusan tidak meletakkan Pogba dalam kesebelasan utama walaupun pemain Perancis itu kembali ke dalam skuad selepas mengalami sakit yang mengehadkan penampilannya pada saingan Piala FA di Huddersfield Town.

Menambah panas spekulasi hubungan kurang baik antara Mourinho dan pemain tengah Perancis itu, pengurus United memilih pemain berusia 21 tahun, Scott McTominay berbanding Pogba dalam kalangan tiga pemain tengah.

Bagaimanapun kecederaan melanda Ander Herrera bermakna Pogba dimasukkan hanya selepas 17 minit babak pertama yang didominasi skuad Sepanyol itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 8:15 AM