OVECHKIN dalam landasan rebut jersi kuning. FOTO/FAIL
OVECHKIN dalam landasan rebut jersi kuning. FOTO/FAIL
Azlan Muhammad Zain


PELUMBA Terengganu Cycling Team, Artem Ovechkin semakin menonjol apabila menduduki tempat kedua peringkat ketiga Tour of Thailand (TOT) 2018, hari ini.

Lebih penting keputusan itu membolehkan pelumba dari Russia itu menduduki tempat kedua dalam kategori jersi kuning, ketinggalan 16 saat kepada pelumba St George Contnental Cycling Team, Benjamin Dyball apabila mengumpul 12 jam 31 minit 01 saat.

Dyball menjuarai peringkat ketiga hari ini sejauh 177.7 kilometer dari Aranyaprathet ke Khao Yai National Park dengan masa 4’16:52s diikuti Ovechkin manakala tempat ketiga Thomas Lebas dari Kinan Cycling Team.

Ovechkin turut berada di kedudukan kedua dalam kategori bukit dengan 20 mata, ketinggalan lapan mata kepada Dyball.

“Peringkat ketiga hari ini sasaran kami kerana ia membabitkan pendakian dengan Ovechkin dan Drew Morey menjadi taruhan.

“Sasaran adalah untuk berada di kedudukan tiga teratas jersi kuning pada TOT 2018,” jelas Ketua Pegawai Operasi (COO) TSG, Nasiruddin Wan Idrus.

Ovechkin berlepas ke Thailand dengan reputasi tinggi sebagai pemenang jersi kuning Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018.

Ia juga podium kedua TSG di TOT 2018 selepas kapten Zamri Salleh turut menduduki tempat kedua pada peringkat pertama.

TOT 2018 yang berstatus 2.1 dalam kalendar Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mempertandingkan enam peringkat perlumbaan membabitkan 20 pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 7:01 PM