FAUZAN hairan bayaran belum disalurkan.
FAUZAN hairan bayaran belum disalurkan.
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Bayaran wang hadiah kemenangan Tour de Selangor (TdS) 2017 dijangka dilunaskan pada minggu depan, kata Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Mohd Zubir Idrus.

Ketika mengesahkannya, beliau berkata, wang berjumlah hampir RM80,000 itu akan disalurkan kepada Persatuan Lumba Basikal Selangor (PLBS) sebelum dipanjangkan kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

“Kita mempunyai proses pentadbiran tertentu yang perlu dilengkapkan dengan saya sudah menandatangani kebenaran peruntukan dua hari lalu. Saya jangka ia bakal disalurkan minggu depan.

“LifeProFit Sdn Bhd (pengurus acara TdS) sudah menghantar laporan lengkap perlumbaan dua minggu lalu. Cuma kita memerlukan masa untuk membuat penelitian dan justifikasi tuntutan yang dikemukakan,” katanya di sini, semalam.

Menjelaskan keadaan sebenar, Zubir berkata, pihaknya ada meminta LifeProFit melakukan beberapa perkara untuk memberikan impak yang lebih baik terhadap perlumbaan yang pertama kali dianjurkan di Selangor itu.

Ia menyebabkan berlaku kos luar jangka berbanding bajet awal yang diluluskan, sekali gus menyaksikan syarikat berkenaan berdepan kekangan kewangan untuk melakukan pembayaran wang kemenangan.

“Jadi, apabila mereka menghantar laporan lengkap dan terdapat kekangan kewangan dalam membayar wang kemenangan, ia dibawa ke Lembaga Pengurus MSNS yang kemudian diluluskan minggu lalu.

“Secara jujurnya syarikat berkenaan sudah menjalankan tugas dengan baik dalam menjayakan TdS 2017,” katanya.

Isu wang kemenangan TdS 2017 dibangkitkan pelumba berpengalaman negara, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi yang hairan apabila bayaran belum disalurkan walaupun perlumbaan berlangsung Oktober tahun lalu.

Pada perlumbaan itu, dia yang mewakili PDRM menyertai perlumbaan berstatus 2.2 dalam kalendar Jelajah Asia yang membabitkan 15 pasukan dalam dan luar negara.

Perlumbaan lima peringkat TdS didominasi Team Sapura Cycling (TSC) dengan menyaksikan mereka muncul pasukan terbaik, manakala pelumbanya, Muhammad Zawawi Azman memenangi kategori keseluruhan (individu).

TSC dijangka meraih sekitar RM23,000 hasil pencapaian berkenaan, manakala PDRM (RM12,000) dan Terengganu Cycling Team (TSG) kira-kira RM11,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 7:37 AM