Azlan Muhammad Zain


PERLUMBAAN edisi kedua Tour de Selangor (TdS) pada bulan depan tidak hanya tertumpu kepada aspek berbasikal semata-mata.

Sebaliknya, kejohanan yang dianjurkan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor membabitkan kos kira-kira RM2.5 juta itu akan menonjolkan kawasan pelancongan di negeri itu.

“Perlumbaan akan membabitkan sembilan daerah di Selangor...sekitar 700 kilometer secara keseluruhan dengan membabitkan kawasan pelancongan di Selangor.

“TdS lebih kepada konsep sukan pelancongan, sesuai dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 pada tahun depan. Jadi, satu tujuan TdS adalah mempromosikan negeri ini,” jelas Ketua Pegawai Esekutif TdS, Noraidiazhar Sulaiman.

Menurutnya, antara tempat yang menjadi pilihan mereka untuk diketengahkan adalah Bukit Jugra berkaitan kesultanan di Selangor.

“Kita mahu perlumbaan ini menjadi ‘rebutan’ pasukan luar setiap kali dianjurkan. Beberapa aspek akan diperbaiki pada edisi kedua kali ini kerana kita mahu mengangkat status perlumbaan kepada 2.1 pada edisi ketiga nanti.

“Antara langkah yang kami perkenalkan adalah pembayaran wang kemenangan kepada pelumba yang menang di setiap peringkat. Jadi pelumba akan mendapat habuan di setiap garisan penamat secara tunai, manakala pemenang jersi akan dibayar pada hari terakhir perlumbaan nanti,” jelasnya.

NORAIDIAZHAR  ketika ditemubual di Taman Melawati, kelmarin.
NORAIDIAZHAR ketika ditemubual di Taman Melawati, kelmarin.

TdS turut menjanjikan saingan sengit apabila sudah melengkapkan senarai 20 pasukan bertanding yang terdiri daripada juara dan naib juara Jelajah Asia 2018/2019 iaitu Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC).

Malah, menurut Noraidiazhar, kedua-duanya bakal menghantar pelumba terbaik dengan TSG menyenaraikan jaguh pecutnya, Mohd Harrif bergandingan bersama abangnya, Mohd Zamri Saleh.

TSC pula akan menghantar juara bertahan jersi kuning dua tahun lalu, Muhamad Zawawi Azman yang pastinya mahu mempertahankan pencapaian di perlumbaan yang melonjakkan namanya.

Malah, kehadiran pelumba MotoGP, Hafizh Syahrin Abdullah yang bergandingan bersama bekas pemenang jersi pecut dan pemenang peringkat Le Tour de Langkawi (LTdL), Anuar Manan mewakili Amskin Racing Club pastinya menyerikan perlumbaan.

Secara keseluruhan terdapat sembilan pasukan berstatus benua, 10 pasukan kelab dan sebuah pasukan kebangsaan dari Asia dan Eropah akan bersaing bagi merebut empat jersi - kuning (individu keseluruhan), pecut (hijau), merah polka-dot (bukit), putih (bawah 23 tahun terbaik), selain wang kemenangan RM70,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 6:00 AM