PENGERUSI Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Sukan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman (tiga dari kanan) bergambar bersama penaja  selepas pelancaran Tour de Selangor 2019 di Hotel Concorde, Seksyen 9.  - FOTO Saddam Yusoff
PENGERUSI Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Sukan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman (tiga dari kanan) bergambar bersama penaja selepas pelancaran Tour de Selangor 2019 di Hotel Concorde, Seksyen 9. - FOTO Saddam Yusoff
Azlan Muhammad Zain


WANG kemenangan akan dibayar kepada pelumba pada setiap peringkat. Itu komitmen perlumbaan berbasikal Tour de Selangor (TdS) 2019 yang dijadual berlangsung pada Disember nanti.

Menurut Pengarah Urusan TdS, Noraidiazhar Sulaiman, langkah berkenaan diambil bagi mengelakkan berlaku isu membabitkan wang kemenangan kepada 20 pasukan bertanding.

"Sebaik tamat perlumbaan setiap peringkat, wang kemenangan akan dibayar kepada pelumba dan pasukan terbabit. Begitu juga kontraktor, kami akan membayar 80 peratus sebelum perlumbaan bermula dengan baki 20 peratus selepas ia berakhir," katanya selepas majlis pelancaran perlumbaan.

Edisi ke-2 TdS berkenaan menawarkan wang kemenangan berjumlah RM70,000 selain empat jersi dipertandingkan iaitu individu keseluruhan (kuning), pecut (biru), merah polka-dot (bukit) dan pelumba muda terbaik (putih).

NORAIDIAZHAR Sulaiman.
NORAIDIAZHAR Sulaiman.

Perlumbaan dijangka kompetitif dengan Noraidiazhar menjelaskan terdapat 12 pasukan berstatus benua termasuk juara dan naib juara Jelajah Asia 2018/19 iaitu Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) serta Team Sapura Cycling (TSC) akan mengambil bahagian selain empat pasukan kebangsaan dan empat pasukan negeri.

"Sekitar 70 peratus laluan adalah landai dengan pendakian paling sukar adalah di Bukit Jugra iaitu sepanjang kira-kira 500 meter," jelasnya.

TdS adalah perlumbaan 2.2 dalam kalender Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang berlangsung lima peringkat dari 18 hingga 22 Disember dijangka menelan kos sehingga RM2.5 juta dengan penajaan sudah mencapai RM1.5 juta.

Ia dirancang disiarkan secara live streaming menerusi Facebook dan Youtube dan membabitkan jarak 716 kilometer merangkumi sembilan daerah di Selangor seperti Pulau Indah, Cyberjaya, Shah Alam dan Selayang.

Edisi pertama pada 2017 menyaksikan pelumba TSC, Muhammad Zawawi Azman mencuri tumpuan apabila memenangi jersi kuning dan merah polka-dot.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 9:54 PM