DHARMA (empat dari kanan) mengendali latihan skuad hoki wanita di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO/OWEE AH CHUN
DHARMA (empat dari kanan) mengendali latihan skuad hoki wanita di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO/OWEE AH CHUN
Naqib Nor Said


KUALA LUMPUR: Pertahanan Malaysian Tigress, Safiqah Mat Isa enggan melepaskan peluang menambat kembali hati Dhaarma Raj Abdullah apabila melaporkan diri pada sesi latihan skuad hoki wanita kebangsaan di Stadium Hoki Bukit Jalil, hari ini.

Pemain berusia 23 tahun itu menutup kempen 2017 dengan noktah kecewa apabila diketepikan dalam tiga kejohanan utama - Sukan SEA, Separuh Akhir Liga Hoki Dunia dan Piala Asia.

Namun, prestasi cemerlangnya bersama PKS Uniten-KPT dalam saingan Liga Hoki Wanita Malaysia 2018 menyaksikannya kembali berada dalam senarai 24 pemain untuk persiapan menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast, bulan depan.

“Jujurnya, saya tidak sangka dipanggil semula selepas tidak dipilih dalam panggilan pertama (Januari lalu), dan untuk saingan liga kali ini saya hanya memberi yang terbaik dan apabila tahu terpilih memang saya amat bersyukur dan gembira.

“Sekurang-kurangnya saya mendapat peluang kedua dan sudah tentu saya akan cuba mendapat semula kepercayaan jurulatih (Dhaarma Raj),” kata pemain kelahiran Selangor itu.

Safiqah, bagaimanapun sedar ia bukannya mudah untuk menempatkan diri dalam kalangan 18 pemain terbaik apalagi dengan posisi pertahanan negara dianggotai pemain berpengalaman seperti Siti Nur Amarina Ruhani, Juliani Din, Nuraini Rashid dan Raja Norsharina Raja Shabuddin.

Sekiranya Dhaarma bercadang membawa lima pertahanan ke Gold Coast, satu-satunya cara bagi Safiqah disenaraikan adalah dengan mengetepikan saingan daripada Nur Syafiqah Zain, Nor Asfarina Isahyifika Issahidun dan Ellya Syahira Elias.

“Saya tidak berani bercakap mengenai peluang ke Sukan Komanwel, apa yang penting saya perlu bersaing dan menunjukkan prestasi baik pada lima sesi pemanas ujian bertemu skuad bawah 21 (B-21) tahun Jepun,” katanya.

Malaysia yang berada di ranking ke-22 dunia dijadualkan menghadapi lima aksi persahabatan menentang skuad B-21 Jepun bermula 11 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 12:18 AM