SKUAD NSTP Liku (jersi kuning) rai kejayaan ungguli KHMH di Stadium Hoki KLHA, semalam.
SKUAD NSTP Liku (jersi kuning) rai kejayaan ungguli KHMH di Stadium Hoki KLHA, semalam.

JUARA edisi sulung Kejohanan Hoki Media Heattone (KHMH) 2018 menjadi milik pasukan New Strait Times Press (NSTP) Liku selepas mengetepikan lapan pencabar lain.

Pasukan yang baharu dibentuk dalam tempoh dua minggu itu menang 3-1 ke atas Dunia Sukan Troopers pada perlawanan akhir di Stadium Hoki KLHA, semalam.

Bagaimanapun, NSTP Liku terlebih dulu dikejutkan dengan dua percubaan berbahaya Dunia Sukan yang mencemaskan penjaga gol Ferzalfie Fauzi sebelum membunuh semangat juang lawan dengan tiga jaringan dalam tempoh tiga minit.

Ketiga-tiga gol itu diperoleh menerusi sumbangan Naqib Nor Said pada minit ketiga dan keempat sebelum penjaring terbanyak kejohanan Firdaus Hashim melengkapkan malam gemilang NSTP Liku.

Ketua pasukan NSTP Liku, Ajitpal Singh, berkata kejayaan itu nyata di luar jangkaan selepas mengambil kira tempoh persiapan pasukannya yang kurang dari seminggu.

"Kami tidak meletakkan harapan tinggi tapi kemenangan ini adalah berkat kesungguhan pemain yang mengikut segala perancangan ditetapkan," katanya semalam.

Tempat ketiga dimenangi Arena Fighters yang membenam Utusan Thunders 3-0, manakala TV3 Flikers mengatasi Kosmo Hunters 2-1 dalam aksi penentuan tempat kelima dengan NSTP Riong meraih kedudukan ketujuh hasil kejayaan menewaskan Bernama Tigers 1-0.

Bermula perlahan dengan kekalahan 1-0 kepada Kosmo Hunters, NSTP Liku bangkit mencatat kemenangan 6-0 ke atas Bernama Tigers dan Dunia Sukan 4-0 untuk muncul juara Kumpulan B sebelum menewaskan Utusan Thunder 3-1 di separuh akhir.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Operasi MISB Resources, Syed Muhammad Hafiz Barakbah, berkata pihaknya berpuas hati dengan penganjuran sulung kejohanan itu dan berharap ia dapat diteruskan pada masa depan.

"Kita (NR Mustajab) menyasarkan untuk melangsungkan kejohanan yang lebih besar selepas ini dengan mungkin ada penambahan dari segi kategori yang membabitkan anak-anak muda hoki tempatan," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 6:43 PM