PEMAIN Blue Warriors, Nor Asfarina Isahyifika Issahidun (kanan) bersaing dapatkan bola dengan pemain PKS UNITEN, Nurul Nabihah Mansur pada aksi Liga Hoki Wanita Malaysia di Stadium Hoki Nasional, petang tadi. - Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
PEMAIN Blue Warriors, Nor Asfarina Isahyifika Issahidun (kanan) bersaing dapatkan bola dengan pemain PKS UNITEN, Nurul Nabihah Mansur pada aksi Liga Hoki Wanita Malaysia di Stadium Hoki Nasional, petang tadi. - Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Naqib Nor Said


PENGENDALI PKS Uniten-KPT, Lailin Abu Hassan menyifatkan pasukannya gagal beraksi pada tahap sebenar selepas membenarkan Blue Warriors bangkit mengikat mereka 1-1 dalam aksi Liga Hoki Wanita Malaysia, petang tadi.

Siti Zulaika Hussin muncul penyelamat apabila jaringan lewat permainannya membantu Blue Warriors kendalian Zulkhairi Ariffin mencuri satu mata selepas Ellya Syahirah Elias meletakkan PKS Uniten di depan seawal minit ke-15.

Ia jaringan peribadi kelapan Zulaika sepanjang musim ini sekali gus meletakkannya kini sebaris dengan pakar flick PKS Uniten, Nuraini Rashid di posisi kedua senarai penjaring terbanyak dengan lapan gol, hanya tiga gol di belakang rakan sepasukan, Ritu Rani.

PKS Uniten jelas menguasai permainan di Stadium Hoki Bukit Jalil terutama di suku pertama dan kedua, namun gagal pulang dengan mata penuh selepas kehilangan fokus di hujung permainan.

"Bagi saya pemain gagal mencapai prestasi seperti yang dimahukan, mereka kelihatan gugup dan gagal menyudahkan beberapa peluang terhidang termasuk yang diselamatkan penjaga gol Blue Warriors (Farah Ayuni Yahya).

"Malah, mereka kehilangan fokus bila berada dalam situasi tertekan di hujung permainan. Dan faktor ini mungkin berpunca daripada kepenatan kerana ada beberapa pemain gemar memegang bola terlalu lama.

"Justeru, saya harap pemain akan memperbaiki kelemahan ini dan cuba mengutip mata penuh dalam pertemuan kedua dengan Blue Warriors pada Selasa ini kerana hanya kemenangan dapat menjamin peluang cerah untuk bergelar juara liga," kata Lailin selepas tamat perlawanan.

Keputusan itu bermakna kedua-dua pasukan kini terus berkongsi 23 mata dengan PKS Uniten kekal di persada liga berdasarkan kelebihan gol tatkala saingan berbaki tiga perlawanan.

Sebagai rekod, PKS Uniten sudah kemarau gelaran liga selama dua musim selepas bergelar juara edisi sulung pada 2015, sementara Blue Warriors pula belum pernah memenangi gelaran dengan pencapaian terbaik meraih gelaran naib juara pada kempen tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 11:07 PM