PEMAIN Negeri Sembilan, Mohd Khairul Izuan Rosli mengekang kepantasan Andik Vermansah (kanan) di Stadium Darul Aman. -FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
PEMAIN Negeri Sembilan, Mohd Khairul Izuan Rosli mengekang kepantasan Andik Vermansah (kanan) di Stadium Darul Aman. -FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Izzali Ismail

 

KETUA jurulatih Negeri Sembilan Azraai Khor Abdullah tetap bangga dengan penampilan anak didiknya yang mampu bertahan dengan baik sepanjang perlawanan Piala FA menentang Kedah biarpun tewas dengan satu gol di minit akhir masa tambahan.

"Saya tetap tabik semua pemain saya pada malam ini (malam tadi) kerana kita mampu bertahan hingga ke hujung perlawanan dan bagi saya satu kejayaan kerana memang kita datang untuk bertahan," kata Azraai yang kembali membimbing pasukan Liga Malaysia.

"Pertama, kita datang jauh dari Seremban dan kita bukan main dengan calang-calang pasukan kerana Kedah adalah juara Piala FA musim lalu dan masih antara pasukan terkuat musim ini.

"Kita tak mahu bermain dengan corak yang sama sewaktu bertemu Terengganu sebelum ini, dan pada malam ini kita merancang beraksi dengan corak berlainan di mana kita mahu bertahan dan cuba mencuri peluang mencari gol melalui serangan balas.

"Arahan kita beri adalah untuk bertahan dengan lebih berdisiplin pada malam ini dengan pertahanan kita yang berlapis, kita dapat lakukan banyak halangan untuk menghalang deretan percubaan Kedah pada malam ini.

"Bagi saya Kedah banyak melakukan percubaan tetapi kita tetap berjaya pertahankan kubu kita sehingga tempoh 120 minit perlawanan. Kita mengharapkan untuk mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.”

Untuk persiapan seterusnya, bekas pengendali Kedah itu berkata dia mahu memberi tumpuan sepenuhnya untuk persiapan skuad Hobin Jang Hobin menentang Pahang dalam aksi perlawanan Liga Super pada 10 Mac ini.

"Berkunjung ke Kuantan pada 10 Mac ini kita harap penyerang Nicolas Velez kembali pulih daripada kecederaan dan boleh beraksi.

"Buat masa sekarang saya masih lagi menilai prestasi pemain import dan kita akan beri peluang yang seadilnya untuk mereka pamerkan kebolehan mereka sehingga Jun ini," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 1:48 PM