MOHD AZRAAI KHOR ABDULLAH
MOHD AZRAAI KHOR ABDULLAH
Izzali Ismail


KETUA Jurulatih Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah boleh menarik nafas lega apabila skuad kendaliannya berjaya mempamer kebangkitan dengan mengikat Kedah 3-3 di Stadium Darul Aman malam tadi.

Beliau bersyukur kerana hajat skuad 'Hobin Jang Hobin' yang tidak mahu pulang ke Seremban dengan tangan kosong, tercapai.

“Syukur... satu mata yang berharga kerana memang hajat kami tidak mahu pulang dengan tangan kosong. Kami datang dari jauh dan kami tidak mahu pulang hampa.

“Selepas ketinggalan 1-3  pada babak pertama, saya terapkan motivasi dengan memberitahu pemain bahawa kami perlu bangkit di babak kedua.

“Jika pemain Kedah boleh lakukan (beraksi baik) kenapa kita tidak boleh... mereka juga berlatih setiap hari seperti kita dan kita tidak boleh terus jatuh.

“Alhamdulillah satu kebangkitan yang orang kata begitu hebat... kerana kita kena faham kita bukan main dengan pasukan calang-calang. Kedah antara pasukan terbaik dengan hantaran pendek, kawalan bola dan sebagainya tetapi berkat usaha, kita dapat keputusan yang baik.

“Namun, saya masih lagi tak puas hati dengan semua import kerana kita 'duduk' di dasar carta, kita tak boleh puas hati, malah kita kena usaha dan lakukan sesuatu untuk naik kembali.

“Sasaran kita adalah kekal berada dalam Liga Super dan kalau kedudukan kita seperti sekarang ini, masih tak cukup lagi dan kita kena usaha lagi,” kata Azraai.

Ditanya mengenai kesempatan yang diambil atas kekurangan pada pertahanan Kedah, Azraai berkata dalam bola sepak apa saja boleh berlaku dan tidak ada pasukan yang boleh memandang rendah setiap lawan.

“Dalam keadaan perlawanan kadang-kadang akan wujud peluang, maka kita gunakan peluang  yang ada itu dan kita laksanakan.. itu penting.

“Bagi saya Kedah secara keseluruhannya adalah pasukan yang seimbang di mana mereka ada semuanya dari segi import yang berwibawa dan pemain tempatan berbakat berbanding kita yang masih mencari rentak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 1:19 PM