AFP

PARIS: Pemain tenis Ukraine, Dmytro Badanov digantung seumur hidup dan denda sebanyak AS$100,000 (RM398.337) selepas didapati bersalah atas tuduhan mengatur perlawanan, umum Unit Integriti Tenis (TIU).

“Hukuman penggantungan seumur hidup dilaksanakan serta merta yang bermakna Badanov dilarang daripada bertanding atau menyertai, sebarang pertandingan atau acara atau diperakui oleh organisasi sukan berkenaan,” menurut kenyataan dikeluarkan oleh TIU semalam.

Badanov, 30, ‘didapati melanggar terma Program Anti Rasuah Tenis dengan mengatur keputusan perlawanan pertandingan ITF Futures F23 di El Kantaoui, Tunisia pada September 2015 dan perlawanan pertandingan ITF Futures F26 di Kaherah, Mesir pada September 2016’.

Dia juga didapati bersalah atas tuduhan mengendalikan pertaruhan yang berkait dengan dakwaan mengatur perlawanan di Tunisia dan Mesir itu.

Kes berkenaan dikemukakan oleh TIU susulan satu siasatan. Ia di dengar di hadapan Pegawai Pendengaran Anti Rasuah Bebas, Professor Richard H McLaren.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 1:55 PM