PENJAGA gol Penang Juniors, Siti Nur Aisyah Hamidi menendang bola ketika diasak pemain Blue Warriors (PDRM), Nur Iman Shahiera Bedrul Hisham (tengah). FOTO/ OWEE AH CHUN
PENJAGA gol Penang Juniors, Siti Nur Aisyah Hamidi menendang bola ketika diasak pemain Blue Warriors (PDRM), Nur Iman Shahiera Bedrul Hisham (tengah). FOTO/ OWEE AH CHUN
Saiful Affendy Sapran


BLUE Warriors nyata tidak berdepan masalah menewaskan Penang Juniors 4-0, hari ini sekali gus melakar kemenangan ketiga berturut-turut pada saingan Liga Hoki Wanita Malaysia.

Bagaimanapun, kejayaan meraih tiga mata penuh itu masih belum dapat memuaskan hati ketua jurulatih, Zulkhairi Ariffin.

“Walaupun menang tetapi corak permainan setiap pemain masih kurang kemas.

“Mungkin tak ada masalah apabila bertemu pasukan yang kurang kuat seperti Penang Juniors, tetapi kami perlu mempamer aksi lebih baik apabila bertemu pasukan pilihan.

“Tapi saya tetap yakin kami masih berada di landasan tepat untuk bersaing merebut kejuaraan liga,” katanya.

Selepas empat perlawanan, naib juara liga musim lalu itu hanya teruji ketika seri perlawanan pertama bertemu Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) dengan tiga perlawanan selepas itu termasuk hari ini dilihat kurang kompetitif.

Perlawanan bertemu satu lagi pasukan pilihan, PKS Uniten-KPT pula terpaksa dilangsungkan semula pada satu tarikh yang belum ditetapkan lagi berikutan gangguan cuaca sebelum ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tun Razak, Blue Warriors memperoleh kesemua empat gol pada separuh masa pertama.

Gol disumbangkan oleh tonggak import dari India, Narender Kaur minit ke-4, Siti Zulaika Hussin (m-20) Ritu Rani (m-22) dan Reena Rani (m-26).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 10:08 PM