PALLARES (tengah) makin serasi bersama Kedah.
PALLARES (tengah) makin serasi bersama Kedah.
Izzali Ismail


KETIKA menanti dengan penuh debar menjelang aksi pembukaan Liga Super 2018 merebut Piala Sumbangsih, Ramon Marcote yang kali pertama memikul tanggungjawab selaku pengendali Kedah disuntik dengan perkembangan positif pemain import skuad berkenaan.

Ketua jurulatih ini begitu mengharapkan kudrat dua pemain import baharu mampu mencetuskan impak besar kepada skuad Helang Merah terutama aksi pembuka tirai merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Larkin, pada 3 Februari ini.

Apa yang melegakan Marcote ialah, pemain kelahiran Sepanyol yang memiliki kerakyatan Filipina, Alvaro Silva dilihat bersedia lebih cepat daripada jangkaan, kerana pengalamannya beraksi di Filipina, liga Vietnam dan Korea Selatan sebelum ini.

INFO GRAFIK HARIAN METRO
INFO GRAFIK HARIAN METRO

“Ini membuatkan proses penyesuaiannya dengan keadaan di Malaysia lebih cepat daripada jangkaan kita kerana pengalamannya dan sudah beraksi di pentas Asean.

“Pablo Pallares juga semakin baik walaupun pertama kali beraksi di luar Sepanyol. Dia berdepan liga baharu, bahasa, rakan sepasukan, padang dan cuaca yang berbeza. Pastinya kita tahu keadaan cuaca panas di sini yang berbeza juga mempengaruhi penyesuaian dan dia perlukan masa,” kata Marcote.

Berdasarkan aksi pramusim di Surabaya Pallares, pemain ini mempamerkan kemampuan meyakinkan serta memiliki banyak peluang jaringan serta beraksi penuh semangat sepanjang tempoh 180 minit.

Kelebihan itu bakal disokong dengan kehadiran dua pemain tengah senior iaitu Liridon Krasniqi dan Sandro Da Silva yang masih kekal bersama Helang Merah.

Kini, Marcote cuma perlu mengadunkan kelebihan pemain import itu untuk disesuaikan dengan pemain tempatan terutama pemain senior seperti Baddrol Bakhtiar, Khairul Helmi dan Syazwan Zainon.

BADDROL antara tunjang Kedah.
BADDROL antara tunjang Kedah.

Dengan kombinasi semua pemain tempatan dan import musim ini seperti Liridon, Alvaro Silva, Pallares serta Sandro yang dijangka pulih daripada kecederaan dalam masa terdekat, Marcote dilihat mampu menjadikan Kedah sebagai antara pasukan terkuat dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), musim ini.

“Kita kini berada pada landasan yang baik dalam mempersiapkan pasukan. Saya juga berharap pemain mendapat motivasi terbaik menjelang aksi Piala Sumbangsih.

“Saya mahu cuba yang terbaik walaupun saya tak boleh menjanjikan sepenuhnya, tapi saya akan cuba sebaik mungkin, mengikut idea yang diterapkan dan wujudkan suasana yang baik untuk tingkatkan keyakinan pemain,” katanya.

Apa kata mereka:

MARCOTE (kanan) galas misi baru Kedah.
MARCOTE (kanan) galas misi baru Kedah.

“Sasaran pertama saya adalah untuk memenangi perlawanan pertama dan menjulang Piala Sumbangsih. Pemain perlu yakin pada diri sendiri,” Ramon Marcote, Ketua Jurulatih Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 10:00 AM