PDRM akan memperkenalkan pemain, barisan kejurulatihan di Putrajaya malam esok.
PDRM akan memperkenalkan pemain, barisan kejurulatihan di Putrajaya malam esok.
Asrol Awang


PERSATUAN Bolasepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) FA akan mengadakan majlis pelancaran skuad The Cops di Hotel Marriot, Putrajaya malam esok.

Majlis itu akan turut memperkenalkan barisan kejurulatihan dan pemain yang menjadi nadi pasukan dalam membawa misi meraih kejayaan membanggakan musim ini.

Penolong setiausaha PDRM FA, Asisten Superintendan Mohd Nizam Mohd Noor berkata, The Cops turut memperkenalkan jersi baru bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2018.

Katanya, PDRM FA akan mengumumkan penaja utama skuad yang diyakini mampu mencipta kejayaan membanggakan dalam saingan Liga Perdana nanti.

“Majlis pelancaran akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamed Fuzi Harun,” katanya.

Musim ini, The Cops mempertaruhkan bekas pemain kebangsaan, Zulhamizan Zakaria selaku ketua jurulatih menggantikan Mohd Fauzi Pilus.

PDRM turut diperkuatkan empat pemain import baru iaitu Petrisor Voinea dari Romania, Argzim Redzovic (Montenegro), Sim Woon Sub (Korea Selatan) dan Shunsuke Nakatake (Jepun).

Musim lalu, The Cops menduduki tangga kelapan saingan Liga Perdana, terkandas di pusingan kedua Piala FA dan gagal beraksi dalam saingan Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 1:54 PM