ZULHAMIZAN (tengah) selaku ketua jurulatih PDRM. FOTO/ Kelab Penyokong Bolasepak PDRM
ZULHAMIZAN (tengah) selaku ketua jurulatih PDRM. FOTO/ Kelab Penyokong Bolasepak PDRM
Asrol Awang


ZULHAMIZAN Zakaria mengesahkan pelantikannya sebagai ketua jurulatih Polis Diraja Malaysia Malaysia (PDRM) yang baharu bagi mengharungi Liga Malaysia musim depan.

Bekas pemain kebangsaan dan Pahang itu berkata, penghijrahannya bersama pasukan baharu itu diharap memberi lebih keyakinan untuk mencapai keputusan lebih baik.

Katanya, kepercayaan yang diberi pengurusan PDRM akan dibalas dengan memastikan pasukan mencapai indeks petunjuk prestasi (KPI) seperti yang ditetapkan.

“Ingin saya jelaskan bahawa PDRM adalah pasukan baharu dalam meneruskan kerjaya sebagai jurulatih dan sudah pasti keputusan ini akan membantu meraih kejayaan bermakna.

“Saya harap keyakinan pengurusan pasukan terhadap kemampuan diri saya akan dibalas dengan membawa PDRM ke Liga Super seperti KPI yang ditetapkan.

“Saya juga percaya dengan kemampuan pasukan yang pasti mahu kembali mengisi slot Liga Super musim 2019,” katanya.

Ditanya tentang persiapan skuad The Cops, Zulhamizan berkata, lima pemain Kuantan FA disenaraikan dalam skuad berkenaan bagi menghadapi saingan liga musim depan.

Setakat ini katanya, pemain import yang akan menyertai PDRM juga masih lagi dalam pencarian.

“Saya harap pengalaman yang ada sepanjang tiga musim bersama Kuantan FA dapat diterjemahkan dengan keputusan membanggakan bersama The Cops.

“Dengan kerjasama penuh pengurusan, prestasi PDRM musim 2018 dijangka akan lebih baik sekali gus mencapai misi ke Liga Super,” katanya.

Sebelum ini Zulhamizan mengendali skuad Kuantan FA atau dikenali sebagai The Seagulls selama tiga musim sejak tahun 2015.

Musim ini, The Cops menduduki tangga kelapan Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 1:22 PM