PENGENDALI PDRM Zulhamizan memilih Redzovic bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Konate. Foto file
PENGENDALI PDRM Zulhamizan memilih Redzovic bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Konate. Foto file
Asrol Awang


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan kuota empat pemain import bagi menghadapi cabaran Liga Perdana musim ini.

Pemain import baru disenaraikan adalah Argzim Redzovic dari Montenegro yang mampu mengukuhkan jentera pertahanan The Cops.

Jurulatih pasukan, Zulhamizan Zakaria berkata, pemain pertahanan itu mengisi kekosongan ditinggalkan Souleymane Konate dari Mali yang mengambil keputusan tidak lagi bersama PDRM.

Katanya, pada awalnya, Konate mahu bersama The Cops musim ini tetapi pemain berumur 29 tahun itu memilih beralih pasukan.

“Bagi melengkapkan kuota empat pemain import, Redzovic yang menjalani sesi ujian baru-baru ini dipilih untuk mengukuhkan jentera pertahanan The Cops.

“Dengan kehadiran pemain dari Motenegro ini, PDRM sudah melengkapkan senarai penuh pemain import dan tempatan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini,” katanya.

Sebelum ini, PDRM menyenaraikan dua bekas pemain import Kuantan FA, Sim Woon Sub dan Shunsuke Nakatake, masing-masing dari Korea Selatan dan Jepun di bahagian tengah.

Bagi memperkasakan lagi jentera serangan, pemain kelahiran Romania, Petrisor Voinea bakal menjadi nadi utama The Cops musim ini.

Dalam usaha membentuk persefahaman mantap, Zulhamizan berkata, pasukan itu akan bertemu Petaling Jaya (PJ) Rangers FC pada aksi persahabatan Sabtu ini.

“Jika sebelum ini kami seri 1-1 dengan Negeri Sembilan, saya harap pemain dapat meraih kemenangan ke atas PJ Rangers sebagai motivasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 1:30 PM