AKSI antara MIFA (kanan) dan PDRM. FOTO/MIFA
AKSI antara MIFA (kanan) dan PDRM. FOTO/MIFA
Asrol Awang

PENGENDALI Polis Diraja Malaysia (PDRM) Zulhamizan Zakaria memuji komitmen barisan pemainnya selepas menewaskan MIFA 2-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, faktor kemenangan itu bersandarkan semangat kerja berpasukan yang menyaksikan The Cops mengutip tiga mata di laman sendiri.

“Saya gembira dengan kemenangan ini yang membantu pasukan untuk merapatkan jurang mata terutama saingan terdekat seperti MIFA dan FELCRA FC,” kata Zulhamizan.

“Kejayaan ini juga membuktikan bahawa The Cops mampu beraksi pada tahap terbaik jika persefahaman mantap dipersembahkan pada setiap perlawanan.

“Dengan kemenangan diharap membantu menambah lagi keyakinan untuk memastikan dua tempat teratas Liga Perdana menjadi milik PDRM.”

Pada perlawanan itu, dua gol The Cops, masing-masing satu pada setiap babak dijaringkan Petrisor Voinea minit ke-10 dan 60.

Kemenangan itu meletakkan PDRM berada di tangga ketiga dengan mengutip 22 mata, berkongsi mata sama dengan MIFA di tangga kedua dengan perbezaan jumlah jaringan.

Mengulas dua gol sumbangan Voinea, Zulhamizan berkata penyerang kelahiran Romania itu membuktikan sentuhannya masih lagi berbisa.

“Saya harap Voinea dapat mengekalkan prestasi terbaik dan pada masa sama, semua pemain meneruskan aksi konsisten masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 2:08 PM