NICOL menewaskan Samantha 11-7, 11-3, 11-4 dalam tempoh 27 minit.
NICOL menewaskan Samantha 11-7, 11-3, 11-4 dalam tempoh 27 minit.
Devinder Singh


NICOL David memulakan aksi di Kejohanan Juara-Juara dengan langkah kanan apabila menang ke atas pemain Kanada, Samantha Cornett di New York, semalam.

Nicol yang juga juara dunia lapan kali itu menang 11-7, 11-3, 11-4 dalam tempoh 27 minit ketika menentang Samantha yang sebelum itu mengalahkan bekas pemain kebangsaan, Low Wee Nee di pusingan kelayakan.

Nicol yang menduduki tangga keenam dunia dan pernah memenangi Kejohanan Juara-Juara edisi 2014, bakal berdepan lawan dari New Zealand, Joelle King untuk merebut tempat ke suku akhir.

Joelle yang mengalahkan pemain Mesir, Heba El Torky 11-3, 8-11, 11-3, 11-4, pernah mengalahkan Nicol ketika kali terakhir mereka bertemu di Terbuka China, September lalu.

Nicol gembira dengan kemenangan itu apatah lagi ia adalah kejayaan kedua ke atas Samantha.

“Saya bermain baik untuk menewaskan Samantha Cornett pada perlawanan pembukaan @ToCSquash. Akan ke pusingan kedua bertemu Joelle King petang esok,” kata Nicol menerusi Twitter.

Terdahulu, mengenai kemenangannya, dia berkata: “Dia seorang pemain yang pantas dan saya terpaksa mengerah setiap pengalaman yang ada untuk mengalahkannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 5:34 PM