KHAIRY JAMALUDDIN
KHAIRY JAMALUDDIN
Naqib Nor Said


HASRAT Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk bertemu Khairy Jamaluddin Abu Bakar akhirnya mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan itu yang bersedia bersemuka dengan badan induk itu.

Bagaimanapun, tarikh sebenar pertemuan itu belum ditetapkan kerana Khairy perlu meneliti jadualnya terlebih dahulu.

“Saya belum putuskan lagi (tarikh sebenar pertemuan) kerana masih meneliti jadual dan memang cadangan awal saya pada minggu depan.

“Biar saya bertemu dengan mereka dulu dan tengok apa keputusan yang akan dibuat,” katanya selepas majlis Pembukaan Piala EurAsia di sini, sebentar tadi.

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail sebelum ini dilaporkan mahu bertemu Khairy susulan pengguguran sukan tradisi itu daripada sukan teras.

Selain sepak takraw, dua sukan lain yang turut digugurkan ialah taekwando dan angkat berat yang menyaksikan ketiga-tiga sukan itu turut tidak dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) di Ipoh.

Antara alasan pengguguran sepak takraw kerana tidak menunjukkan peningkatan prestasi dan gagal memenangi pingat emas Sukan SEA sekiranya Thailand mengambil bahagian dalam acara yang sama.

Malah, keputusan itu menyebabkan Ahmad Ismail turut bengang dan menuduh pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) bermain politik dan berkomplot cuba menjatuhkannya.

“Saya tidak pasti apa yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Ahmad Ismail dan saya tidak tahu beliau rujuk kepada apa. Beliau kata ada komplot dan ada bukti tetapi saya tidak tahu apa komplot yang dimaksudkannya itu,” kata Khairy.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 8:57 PM