Malik Muhamad


PRESIDEN Persatuan Sepaktakraw Terengganu (PSNT), Mohd Shapian Ali menyifatkan Datuk Seri Ahmad Ismail (gambar) takut kepada bayang-bayang sendiri apabila menuduh pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) berkomplot mahu menjatuhkannya.

Shapian yang pernah menjadi Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) turut mendakwa kenyataan Ahmad itu sekadar mencari publisiti murahan bagi menutup kegagalannya dalam membangunkan sukan tradisi berkenaan.

“Saya sifatkan beliau (Ahmad) takut kepada bayang-bayang sendiri selain kenyataan yang dikeluarkan itu membabi buta.

“Jika beliau berani, takkan cakap begitu, sebaliknya perlu tampil dengan mengemukakan bukti yang kukuh dan bukannya melalui publisiti murahan sebegini.

“Justeru, cukuplah duduk kerusi itu. Lepaslah jawatan sebagai presiden dan berilah peluang kepada muka baharu untuk mengangkat semula martabat sukan tradisi ini,” kata Shapian.

Selepas menuduh pegawai MSN bermain politik susulan pengguguran sepak takraw daripada sukan teras, Ahmad dalam kenyataan terbaru Selasa lalu mendakwa mempunyai bukti pegawai MSN bersekongkol dengan individu tertentu untuk menjatuhkannya.

Shapian turut berkata, kenyataan Ahmad yang menuding jari kepada pihak lain itu perlu dinilai semula kerana impaknya cukup besar, bukan hanya kepada pembangunan sukan itu tetapi tempiasnya juga kepada periuk nasi pemain.

“Saya hairan dan pelik kenapa beliau mahu salahkan orang lain sedangkan beliau menjadi presiden sejak 2003 lagi dan sudah pasti lebih tahu dengan terperinci jatuh bangun sukan sepak takraw negara.

“Nasihat saya Ahmad perlu insaf dan nilai diri sendiri terlebih dulu sebelum menyalahkan orang lain kerana ia jelas membuka pekung diri sendiri,” katanya.

Semalam, Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS), Datuk Markiman Kobiran turut membidas Ahmad susulan dakwaannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 6:17 PM