Daripada Aziman Rosdi di Changshu dan China


PENYERANG muda negara, Jafri Firdaus Chew mengharapkan keajaiban di Bangkok berulang apabila mereka mengharungi kempen Kumpulan C Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun di Changshu, bermula Rabu ini.

Skuad B-23 negara mara ke pusingan akhir kejohanan kali ini selepas melepasi kelayakan di Bangkok Julai lalu apabila muncul juara Kumpulan H meskipun tidak diletakkan banyak harapan pada awalnya.

Biarpun saingan di Changshu lebih sukar apabila diundi bertemu juara 2013 Iraq, Arab Saudi dan Jordan berbanding di pusingan kelayakan namun bagi Jafri, sekurang-kurangnya apa yang mereka lalui sebelum ini boleh dijadikan azimat.

“Situasi ini (di Changshu) mengingatkan saya kembali ketika kami berada di Bangkok yang mana ketika itu kami berjaya melakar kejutan dan sudah pasti saya berharap ia akan berlaku lagi kerana dalam bola sepak tiada apa yang mustahil,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

ANAK buah Kim  Swee gigih berlatih.
ANAK buah Kim Swee gigih berlatih.

Pada pusingan kelayakan, anak buah Datuk Ong Kim Swee mengejutkan Indonesia 3-0 namun tewas 0-3 di tangan Thailand sebelum mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan H dengan kemenangan 2-0 ke atas Mongolia.

Skuad muda negara yang layak buat kali pertama ke pusingan akhir berdepan ujian lebih getir menentang Iraq di Stadium Changshu, Rabu ini sebelum menentang Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari) dalam saingan Kumpulan C.

“Jika kami berjaya mendapatkan satu mata (menentang Iraq), ia sudah cukup bagus buat kami. Secara tidak langsung ia akan memberikan motivasi untuk perlawanan seterusnya.

“Kami perlu berusaha keras sebagai satu pasukan ketika bertahan dan menyerang kerana kami sedar Iraq pasukan hebat,” kata Jafri yang menyertai kelab Liga Super, PKNS FC musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 11:28 AM
KIM Swee (tengah) sedang memberi arahan kepada anak buah.
KIM Swee (tengah) sedang memberi arahan kepada anak buah.