ABDUL Ghani Shahad, jurulatih Iraq B-23
ABDUL Ghani Shahad, jurulatih Iraq B-23

Daripada Aziman Rosdi di Changshu, China

[email protected]

JURULATIH Iraq, Abdul Ghani Shahad tidak panik untuk berdepan Malaysia dalam aksi pembukaan Kumpulan C Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun (B-23) di Stadium Changshu, China esok meskipun kehilangan dua tonggak utama.

Penjaring terbanyak pusingan kelayakan Julai tahun lalu di Riyadh, Arab Saudi, Aymen Hussein yang meledak enam gol digantung dua perlawanan kerana menerima kad merah ketika menentang pasukan tuan rumah manakala pemain tengah, Ahmad Mohsen Jaber digantung satu perlawanan kerana mengumpul dua kad kuning.

Bagaimanapun, Abdul Ghani yang membimbing pasukan itu menduduki tempat ketiga pada Kejohanan AFC B-23 di Qatar pada 2016 percaya ketiadaan dua pemain berkenaan tidak memberi banyak kesan kepada persiapan mereka berdepan Malaysia.

“Kami ada 23 pemain dan semua pemain sudah bersedia untuk beraksi. Kami sudah mempersiapkan semua pemain dalam perlawanan tahap tinggi jadi tiada masalah apabila kami tiada dua pemain ini.

“Kami berjaya memenangi kejohanan ini pada edisi pertama dan menduduki tempat ketiga selepas itu jadi kali ini kami mahu terus memperbaiki pencapaian meskipun kami tahu, peluang semua pasukan dalam kumpulan ini seimbang,” katanya dalam sidang media hari ini.

Iraq hadir dengan reputasi hebat selepas muncul juara pada 2013 menewaskan Arab Saudi 1-0 pada final di Oman dan menduduki tempat ketiga pada edisi 2016 di Qatar.

Anak buah Abdul Ghani hanya kalah sekali dalam sembilan perlawanan tahun lalu, tewas 0-1 kepada Qatar dalam aksi persahabatan pada Disember dan menang semua tiga perlawanan pusingan kelayakan mengatasi Afghanistan (8-0), Bahrain (2-1) dan Arab Saudi (2-0).

Iraq turut menewaskan satu lagi pasukan pencabar Kumpulan C di kejohanan kali ini, Jordan 1-0 dalam aksi persahabatan Julai lalu.

Abdul Ghani, yang pernah membimbing kelab Naft Al-Wasat muncul juara Liga Premier Iraq 2014/2015, meletakkan harapan tinggi untuk anak buahnya meraih tiga mata dalam perlawanan esok.

“Kami hanya memberi fokus dalam mempersiapkan pasukan kami sendiri. Kami menghormati Malaysia kerana mereka mencatat keputusan baik pada pusingan kelayakan dan melakukan persediaan rapi. Tapi saya berharap kami dapat meraih tiga mata esok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 2:12 PM