RUSSIA (baju merah) tersingkir awal di Piala Konfederasi.
RUSSIA (baju merah) tersingkir awal di Piala Konfederasi.
Reuters

Moscow: Kekalahan Russia di peringkat awal Piala Konfederasi mencetuskan kebimbangan di kalangan penyokong apatah lagi tuan rumah Piala Dunia 2018 itu perlu mengelak daripada berlaku insiden sama ketika pusingan akhir nanti.

Skuad kendalian Stanislav Cherchesov itu tewas pada perlawanan pemanas badan Piala Dunia di tangan Mexico dan ia memperlihatkan kelemahan di benteng pertahanan serta kekerapan melepaskan peluang.

Ketika Piala Dunia masih berbaki kurang setahun, Russia tidak mempunyai banyak pilihan untuk mengukuhkan pasukan, tidak seperti negara lain yang terpaksa bersaing untuk ke pusingan akhir sekali gus membuatkan mereka tidak berpeluang untuk bermain di kelayakan.

“Kami tidak akan mempunyai pemain baru esok. Inilah pasukan utama kami,” kata Timbalan Perdana Menteri Vitaly Mutko yang turut mengetuai Kesatuan Bolasepak Russia (RFU).

Penyingkiran Russia di Piala Konfederasi menambahkan lagi prestasi buruk mereka di peringkat antarabangsa selepas tewas awal di Kejohanan Eropah tahun lalu serta pusingan akhir Piala Dunia 2014.

Awal bulan ini, Presiden Vladimir Putin berkata, kehadiran pemain import di Liga Perdana Russia menjejaskan perkembangan pemain tempatan selain mendakwa RFU tidak memberikan perhatian yang cukup kepada soal pembangunan di peringkat remaja.

Seramai 2.7 juta orang - kira-kira 1.8 peratus penduduk Russia bermain bola sepak, kata RFU tahun ini.

Sebagai perbandingan, 11 juta warga England bermain bola sepak iaitu kira-kira 20 peratus daripada jumlah penduduknya.

Bagi sesetengah pegawai Russia, hanya masa yang akan menentukan masa depan skuad kebangsaan mereka yang kini menduduki tangga ke-63 dunia.

“Perkembangan sukan di peringkat remaja mula menurun pada 90-an,” kata pengamal undang-undang Dmitry Svishchev yang bertanggungjawab membentangkan soal sukan di parlimen Russia.

“Sistem perkembangan sukan di negara kami kembali bermula pada awal 2000 dan saya harap kami akan mula menunjukkan perkembangan dalam tempoh lima tahun akan datang.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 12:21 PM