ROSLAN (kiri) mahu fokus sebagai jurulatih penjaga gol skuad wanita kebangsaan.
ROSLAN (kiri) mahu fokus sebagai jurulatih penjaga gol skuad wanita kebangsaan.
Rodly Fadly


BEKAS penjaga gol hoki kebangsaan, Roslan Jamaluddin tidak akan keluar daripada persaraan sekalipun kudrat serta pengalamannya sangat ditagih oleh pasukan negara selepas S Kumar gagal ujian doping baru-baru ini.

Roslan, 39, berkata, dia sudah selesa dengan peranan barunya sebagai jurulatih penjaga gol skuad wanita kebangsaan serta sekadar aktif dalam liga domestik selepas mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa sejak dua tahun lalu.

Malah, Roslan yakin penjaga gol muda yang berada dalam skuad The Speedy Tigers sekarang mampu menggantikan Kumar bagi menghadapi tiga kejohanan besar iaitu Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Piala Dunia, tahun depan.

“Saya sangat menghargai cadangan agar dipanggil semula sebagai pengganti Kumar, ia satu penghormatan bila orang masih mempercayai saya.

“Tapi saya minta maaf kerana tidak akan berbuat begitu. Banyak sebab saya tidak bersedia untuk kembali mewakili negara, antaranya faktor umur serta kecergasan.

“Beraksi untuk skuad kebangsaan bukan perkara main-main. Apatah lagi kejohanan besar seperti Sukan Asia dan Piala Dunia menuntut komitmen yang tinggi kerana pengalaman sahaja tidak memadai.

“Selepas dua tahun tidak beraksi di peringkat antarabangsa, bukan mudah untuk mendapatkan semula sentuhan.

“Kecergasan saya pun sudah jauh menurun, sekadar sederhana serta hanya sesuai untuk pertandingan domestik.

“Tahun depan umur saya akan masuk 40 tahun, saya sudah tidak mampu menghadapi latihan berat serta menyaingi tenaga pemain muda.

“Lagipun saya sudah selesa dengan peranan sebagai jurulatih kepada penjaga gol pasukan wanita kebangsaan,” katanya.

Roslan yakin dua penjaga gol muda - Mohd Hafizuddin Othman dan Hairi Abdul Rahman mampu menggalas tanggungjawab sebagai pengganti Kumar serta meminta semua pihak menaruh kepercayaan kepada mereka.

“Hafiz dan Hairi patut diberi peluang untuk membuktikan kebolehan. Pada masa sama mereka juga perlu menggunakan kesempatan ini sebaik mungkin dengan memberi persembahan terbaik.

“Saya doakan yang baik-baik untuk skuad negara. Saya yakin pasti akan ada jalan keluar untuk masalah ini,” ujar Roslan yang kini sedang mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah.

Nama Roslan kembali menjadi sebutan selepas Kumar disahkan positif doping bahan terlarang sibutramine oleh Agensi Anti-doping Dunia (WADA) pada kejohanan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu yang memungkinkan dia digantung selama dua tahun jika didapati bersalah.

Malah, jurulatih, Stephen van Huizen tidak menolak kemungkinan memanggil penjaga gol veteran itu sekalipun pilihan utama sekarang adalah mengekalkan kepercayaan kepada penjaga gol muda yang berada dalam skuad kendaliannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 9:33 PM