Kuala Lumpur: Penjaga gol skuad hoki negara Muhamad Hafizuddin Othman (gambar) berharap terpilih beraksi di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London bermula 15 Jun ini dalam usaha membuktikan dia pengganti terbaik S Kumar untuk masa depan.

Ketika ini, Hafizuddin berstatus penjaga gol kedua skuad negara tetapi masih belum dapat mengecapi aksi di pentas tertinggi yang selama ini didominasi Kumar serta bekas penjaga gol negara Roslan Jamaluddin.

Justeru Hafizuddin yakin jika terpilih beraksi di London, ia pasti akan memberi pengalaman berharga untuknya yang dilihat pengganti terbaik kepada Kumar.

“Bagi saya apa juga kejohanan saya akan melakukan persediaan terbaik.

“Setakat ini pengalaman terbaik pernah saya dapat adalah beraksi di Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (Dhaka, Bangladesh) serta di Piala Sultan Azlan Shah.

“Semua ini platfrom terbaik untuk saya beraksi di pentas lebih tinggi seperti Separuh Akhir Liga Hoki Dunia,” katanya.

Begitupun, Hafizuddin tidak pernah menganggap Kumar sebagai penghalang atau pencabar utamanya, sebaliknya dia memanfaatkan pengalaman dimiliki penjaga gol nombor satu negara itu sebaik-baiknya.

“Kumar selalu memberi tunjuk ajar kepada saya. Malah saya juga banyak bertanya kepadanya mengenai situasi satu-satu perlawanan atau perkara lain,” katanya.

Kumar hampir pasti mengekalkan posisi penjaga gol utama manakala Hafizuddin bakal bersaing dengan seorang lagi penjaga gol Mohammad Hairi Abdul Rahman untuk mendapatkan slot kedua.

Segala-galanya akan terjawab hari ini apabila Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bakal mengumumkan senarai 18 pemain ke London.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 9:21 AM