VAN Huizen (kanan) enggan terburu-buru cari pengganti Kumar.
VAN Huizen (kanan) enggan terburu-buru cari pengganti Kumar.
Naqib Nor Said


STEPHEN Van Huizen enggan terburu-buru dalam mencari pengganti S Kumar sebaliknya mahu menunggu apakah nasib yang menimpa penjaga gol berusia 38 tahun itu selepas gagal ujian doping pada Piala Asia, Oktober lalu.

Bagaimanapun, ketua jurulatih Malaysian Tigers itu bersikap terbuka untuk mencari pengganti Kumar termasuklah kemungkinan memanggil semula Roslan Jamaluddin ke dalam skuad kebangsaan andai benar tidak dapat menggunakan khidmat Kumar.

Menurut Stephen, ketika ini pendiriannya adalah untuk mengekalkan kepercayaan kepada Mohd Hafizuddin Othman, Hairi Abdul Rahman dan penjaga gol percubaan Zaimi Md Deris untuk menggalas tugas negara bagi menghadapi kejohanan terdekat seperti Piala Sultan Azlan Shah dan Sukan Komanwel 2018.

“Saya tidak mahu membuat keputusan terburu-buru, mana tahu mungkin Kumar hanya akan dikenakan amaran keras ataupun hanya penggantungan tiga bulan,” katanya sebentar tadi.

“Kami sentiasa terbuka untuk memanggil mana-mana penjaga gol termasuk Roslan, tetapi kita kena ingat dia pun sudah lama tidak menjalani latihan intensif.

“Apapun saya bersama Nasihin Nubli (jurulatih penjaga gol) mahu terus meletakkan kepercayaan kepada tiga penjaga gol muda sedia ada dan kami yakin dengan kemampuan mereka.”

Stephen berkata demikian sebagai mengulas pandangan bekas penyerang negara, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi yang mencadangkan supaya Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) memujuk semula Roslan, 38, untuk keluar daripada persaraan.

Roslan yang mewakili KLHC dalam saingan Liga Premier musim depan, sudah menggantung kayu hoki daripada pentas antarabangsa sejak tahun 2015 dan sejurus itu dia dilantik menjadi jurulatih penjaga gol skuad hoki wanita negara.

Ditanya adakah faktor usia Roslan menjadi halangan untuk kembali dipilih, Stephen berkata: “Saya hanya tekankan prestasi, usia bukannya halangan kerana Kumar pun tahun ini berusia 38 tahun.”

Pada masa sama, Stephen turut meminta tempoh yang lebih panjang untuk mencari pelan terbaik bagi mengisi slot terakhir Program Podium yang ditinggalkan Kumar.

“Buat masa ini kami hanya kekal dengan tiga penjaga gol, untuk satu slot Program Podium yang ditinggalkan Kumar kami belum putuskan siapa penggantinya.

“Sama ada mahu gantikan dengan penjaga gol ataupun pemain dalam padang untuk lengkapkan senarai 24 pemain Podium, ia masih dalam perbincangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 10:54 PM