HAFIZUDDIN (kanan)  bersikap positif dengan kehadiran  Kumar. FOTO/FAIL
HAFIZUDDIN (kanan) bersikap positif dengan kehadiran Kumar. FOTO/FAIL
Saiful Affendy Sapran


PENJAGA gol skuad hoki negara, Hafizuddin Othman bersikap positif dengan kehadiran semula seniornya, S Kumar ke dalam skuad kebangsaan selepas bebas daripada penggantungan gagal ujian doping di Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober tahun lalu.

Meskipun Kumar selama ini dilihat sering kali membayangi dirinya dengan memegang status selaku penjaga gol utama Malaysian Tigers, Hafizuddin tidak berkecil hati, sebaliknya menganggap kehadiran Kumar menambahkan lagi persaingan sihat di dalam pasukan.

Sepanjang penggantungan sementara enam bulan yang dilalui Kumar selepas positif menggunakan bahan terlarang sibutramine oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), Hafizuddin memperoleh peluang yang lebih banyak untuk beraksi bersama-sama seorang lagi penjaga gol negara, Hairi Abd Rahman.

“Tidak dinafikan Kumar adalah penjaga gol paling berpengalaman dan saya rasa dia akan dapat membantu pasukan di Sukan Asia di Indonesia nanti.

“Malah, saya sendiri berasakan Kumar masih penjaga gol utama negara.

“Apapun, saya tetap akan cuba bersaing untuk mendapat tempat bersama-sama Kumar dan Hairi,” katanya.

Hafizuddin berkata, dia sememangnya tidak mempunyai pilihan lain selain perlu bersaing dan membuktikan kemampuannya sekali gus memikat hati ketua jurulatih, Stephen Van Huizen.

“Jurulatih sudah beritahu kami, tak semestinya bila Kumar kembali semula ke dalam pasukan, dia akan terus terpilih ke Sukan Asia.

“Sebaliknya, kami bertiga akan melalui sesi pemilihan dan hanya yang terbaik akan terpilih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 6:51 PM