HAFIZUDDIN (kanan) sedia pikul tugas selaku  penjaga gol  negara.
HAFIZUDDIN (kanan) sedia pikul tugas selaku penjaga gol negara.
Saiful Affendy Sapran


PENJAGA gol kedua skuad hoki negara, Muhammad Hafizuddin Othman sedia menggalas tugas selaku penjaga gawang utama selepas S Kumar berdepan hukuman penggantungan sementara selama dua tahun berikutan positif ujian doping pada kejohanan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu.

Menurut penjaga gol dari Terengganu itu, inilah masanya untuk dia membuktikan kemampuannya kepada kepada ketua jurulatih, Stephen Van Huizen selepas kerap dibayangi Kumar yang diakui lebih baik daripadanya.

Justeru dia mahu membuktikan kemampuannya itu terlebih dulu pada saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) yang bakal bermula awal tahun depan bersama Terengganu Hockey Team (THT).

“Memang saya rasa tanggungjawab lebih besar sebab tugas sebagai penjaga gol sebenarnya bukanlah mudah. Tetapi sebenarnya saya memang sudah bersedia untuk menghadapi musim depan kerana banyak kejohanan besar yang akan membabitkan skuad negara.

“Dua kejohanan utama yang menjadi idaman saya untuk beraksi adalah Sukan Asia dan Piala Dunia,” katanya merujuk kepada Sukan Asia di Jakarta-Palembang dan Piala Dunia di Bhubaneswar, India.

Hafizuddin berharap dapat beraksi lebih lama di atas padang selepas ini. “Kali terakhir saya beraksi pada perlawanan penuh adalah ketika Piala Sultan Azlan Shah tahun ini bertemu New Zealand.

“Kemudian saya hanya beraksi kira-kira enam minit ketika di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu. Saya juga diberi peluang beraksi sebanyak tiga kali tetapi bukan dalam aksi penuh ketika di Piala Asia,” katanya.

Van Huizen menerusi laporan hari ini berkata, dia berharap Hafizuddin serta seorang lagi penjaga gol Malaysian Tigers, Hairi Abdul Rahman akan memanfaatkan peluang ini sebaik-baiknya untuk membuktikan mereka layak beraksi bersama skuad negara.

Mnurutnya, kedua-dua penjaga gol itu kemungkinan besar akan diturunkan untuk saingan Piala Sultan Azlan Shah yang berlangsung pada Mac tahun depan serta Sukan Komanwel di Gold Coast sebulan selepas itu sekiranya Kumar tidak dapat kembali semula bersama pasukan.

Kumar didapati positif menggunakan bahan terlarang sibutramine oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) di Piala Asia lalu.

Penjaga gol berusia 38 tahun itu bagaimanapun enggan mengambil ujian sampel B, sebaliknya mahu terus melalui proses pendengaran untuk membela diri yang dijadual berlangsung Januari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 10:00 PM