JUN Hoong (kiri) sedih dengan berita Zhuliang.
JUN Hoong (kiri) sedih dengan berita Zhuliang.
Fadhli Ishak


JUARA dunia, Cheong Jun Hoong memberikan penghormatan yang menyentuh perasaan kepada ketua jurulatih skuad terjun negara, Yang Zhuliang yang memainkan peranan penting mengasah bakatnya dalam sukan itu sejak beberapa tahun lalu.

Jun Hoong berkata, dia sedih apabila mendapat tahu kontrak Zhuliang tidak akan disambung bersama skuad elit dan menegaskan dia tidak akan mampu mencapai apa yang diraihnya hari ini tanpa tunjuk ajar jurulatih dari China itu.

Jun Hoong menjadi penerjun pertama memenangi pingat emas kejohanan dunia selepas mendominasi acara 10 meter platform individu di Budapest, tahun ini yang turut menyaksikan dia meraih gangsa dalam acara 10 meter platform seirama bersama Pandelela Rinong.

Penerjun berusia 27 tahun itu turut berpasangan dengan Pandelela ketika memenangi perak Sukan Olimpik Rio 2016 dalam acara yang sama tahun lalu.

“Saya sedih apabila mendapat berita Zhuliang tidak lagi menjadi jurulatih kami. Sukar untuk menerima keputusan ini tetapi ia sudah diputuskan dan saya perlu segera menyesuaikan diri dengan situasi ini.

“Saya sangat bertuah kerana mendapat tunjuk ajar daripadanya yang membawa saya pada tahap hari ini. Tanpa usaha kerasnya sejak beberapa tahun, mungkin kita masih belum ada juara dunia hari ini dan tiada pingat perak Olimpik.

“Seluruh dunia mengenalinya dan kewibawananya tidak perlu dipertikaikan lagi,” kata Jun Hoong.

Atlet kelahiran Perak itu turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Zhuliang untuk masa depannya.

“Jika ini keputusan akhir, saya harap Zhuliang boleh gembira dan selamat maju jaya untuknya. Dia sebenarnya sangat penat selepas bertahun berkhidmat bersama Malaysia.

“Saya menghormati dan mengagumi beliau. Saya tidak akan lupakan segala jasanya,” kata Jun Hoong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 10:40 PM